PRN Johor: Jadikan PRU 2018 Pengajaran, Pilih Kestabilan – Wan Rosdy

SEKIJANG, 2 Julai – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap rakyat Johor menjadikan pengalaman politik selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 sebagai contoh bagaimana ketidakstabilan politik boleh memberi kesan langsung kepada keyakinan pelabur dan negeri.

Kata Menteri Besar Pahang itu, ketika Johor berdepan ketidaktentuan politik, ramai pelabur memilih untuk menangguhkan pelaburan atau beralih ke negeri lain termasuk Pahang, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Johor pernah melalui pengalaman itu. Apabila berlaku ketidaktentuan politik, pelaburan merosot dan keyakinan pelabur turut terjejas.

“Hari ini Johor kembali menjadi antara destinasi pelaburan utama negara kerana rakyat memilih kestabilan (pada 2022) dan memberikan mandat yang jelas kepada kerajaan negeri,” ujarnya ketika berucap dalam program sembang santai di Felda Pemanis 2, di sini malam tadi.

Jelasnya lagi, kejayaan Johor menarik pelaburan bernilai tinggi dan melaksanakan pelbagai program kebajikan rakyat membuktikan bahawa kestabilan politik merupakan asas utama kepada pembangunan negeri.

Justeru katanya, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Johor amat diperlukan bagi membuktikan keyakinan rakyat terhadap parti itu serta menyuntik semangat kepada seluruh jentera parti menjelang cabaran politik yang lebih besar pada masa akan datang.

Tambahnya, selepas mencatat kemenangan 40 daripada 56 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, BN kini meletakkan sasaran lebih tinggi untuk memperoleh mandat yang lebih besar daripada rakyat Johor.

“Kita tidak ada pilihan melainkan menang besar. Dulu kita dapat 40 daripada 56 kerusi, kali ini kita mahu lebih daripada itu.

“Kemenangan besar di Johor sangat penting kerana ia akan menjadi suntikan semangat kepada Negeri Sembilan, Melaka dan negeri-negeri lain sebelum kita berdepan pilihan raya yang seterusnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata BN Pahang diberikan tanggungjawab membantu gerak kerja pilihan raya di beberapa kawasan termasuk empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tanjung Piai dan Pontian iaitu Benut, Kukup, Pulai Sebatang dan Pekan Nanas.

Selain itu katanya, Pahang turut diminta membantu kawasan-kawasan FELDA yang ditandingi calon BN bagi memastikan sokongan pengundi terus memihak kepada parti.

“Pahang akan buat sehabis baik untuk membantu. Kita mempunyai pengalaman dan rekod yang baik dalam mengendalikan gerak kerja pilihan raya.

“Insya-Allah kita akan fokus membantu kawasan-kawasan FELDA dan memastikan mana-mana calon BN yang bertanding di kawasan FELDA memperoleh kemenangan,” ujarnya.

Selanjutnya, beliau menyeru seluruh jentera dan penyokong BN jangan terlalu yakin dan terus bekerja keras sehingga hari pengundian dengan memastikan setiap pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

“Jangan terlalu yakin walaupun kita nampak sokongan rakyat sangat baik. Teruskan bekerja, dekati pengundi dan pastikan seramai mungkin keluar mengundi.

“UMNO dilahirkan di Johor dan negeri ini mesti terus menjadi benteng terkuat parti di Semenanjung. Insya-Allah, dengan kerja kuat seluruh jentera, kita akan mempertahankan Pemanis dan mencatat kemenangan yang lebih besar untuk Barisan Nasional,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO