Pertahankan Kubu Kuat, Jentera BN Diseru Perkukuh Sokongan Rakyat

LABIS, 2 Julai – Jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang khususnya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Chemplak Barat diseru terus memperkukuhkan gerak kerja bagi memberikan kemenangan mutlak kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon BN bagi DUN Tenang Azhar Ibrahim berkata Felda Chemplak Barat sebelum ini terbukti menjadi antara kubu kuat BN dan UMNO dalam pelbagai pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Walaupun kawasan ini merupakan kubu kuat kita, seluruh jentera tidak boleh berasa selesa. Kita perlu bekerja lebih kuat bagi memastikan kemenangan terus menjadi milik kita secara mutlak pada pilihan raya akan datang,” katanya ketika berucap dalam perjumpaan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan bersama jentera parti di Felda Chemplak Barat di sini, Selasa petang.

Menurut Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Labis, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Chemplak Barat yang merangkumi kawasan Felda Chemplak Barat dan Perumahan Awam Jalan Muar mempunyai seramai 2,093 pengundi dengan majoriti terdiri daripada pengundi Melayu.

Selanjutnya, Azhar berkata rakyat perlu terus memberikan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi memastikan momentum pembangunan dan kestabilan negeri dapat dikekalkan.

Menurutnya, pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Onn Hafiz telah memberikan manfaat besar kepada rakyat Johor, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan masyarakat.

“Momentum sokongan kepada Datuk Onn Hafiz perlu terus diperkukuhkan. Kita mahu beliau terus menerajui Johor dan memastikan negeri ini terus maju serta tidak terpengaruh dengan pelbagai tohmahan dan serangan yang dimainkan pihak pembangkang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa DUN Tenang merupakan kawasan marginal dengan komposisi pengundi yang pelbagai dan tidak bergantung kepada satu kaum semata-mata.

Katanya, daripada kira-kira 22,000 pengundi di kawasan tersebut, pengundi Melayu hanya mewakili sekitar 49 peratus, manakala masyarakat Cina sekitar 37 peratus, India 11 hingga 12 peratus dan Orang Asli kira-kira dua peratus.

“Untuk menang, kita memerlukan sokongan semua kaum. Sokongan orang Melayu penting, begitu juga sokongan masyarakat Tionghua, India dan Orang Asli. Kemenangan hanya dapat dicapai apabila semua pihak bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.

Selanjutnya, beliau menyeru seluruh jentera parti juga memberi tumpuan kepada pengundi muda dan golongan atas pagar yang kini menjadi penentu utama dalam landskap politik semasa.

Beliau berkata perubahan corak kempen politik memerlukan pendekatan lebih agresif menerusi platform media sosial kerana kebanyakan pengundi muda mendapatkan maklumat melalui aplikasi digital seperti TikTok, Facebook dan pelbagai platform lain.

“Pengundi hari ini tidak lagi bergantung kepada surat khabar atau ceramah semata-mata. Mereka menerima maklumat di hujung jari. Sebab itu jentera perlu memainkan peranan lebih aktif di media sosial bagi menjelaskan segala usaha kerajaan negeri dan bantuan yang telah disalurkan kepada rakyat.

“Pelbagai program pembangunan, bantuan kebajikan, inisiatif Kasih Johor dan peruntukan untuk rakyat telah dilaksanakan. Semua kejayaan ini perlu disampaikan secara berkesan supaya rakyat mengetahui komitmen sebenar kerajaan dalam membela nasib mereka,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO