Pengundi Johor Diseru Nilai Rekod Kerajaan, Bukan Persepsi
TANJUNG PIAI, 2 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, Israk Abdullah mengajak pengundi supaya terus memberikan mandat kepada BN bagi memastikan kestabilan politik serta kemakmuran Johor dapat diteruskan.
Beliau berkata, pengundi perlu membuat pilihan secara rasional dengan melihat kepada pencapaian kerajaan negeri yang telah banyak membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif.
“Jangan memilih berdasarkan emosi atau persepsi. Pengundi Johor bijak dan matang. Mereka boleh menilai sendiri prestasi kerajaan yang telah banyak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.
Menurut beliau, antara inisiatif yang memberi impak besar ialah Bantuan Kasih Johor yang telah dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk ibu tunggal, warga emas, suri rumah, pelajar, golongan muda serta petugas barisan hadapan seperti anggota polis dan bomba.
“Kerajaan negeri sentiasa melihat keperluan rakyat dan saya percaya lebih banyak bantuan akan dapat diperkenalkan pada masa akan datang mengikut keperluan semasa,” katanya.
Tambah beliau, manifesto BN yang menekankan kestabilan dan kemakmuran adalah asas penting bagi memastikan Johor terus berkembang sebagai sebuah negeri yang maju dan berdaya saing.
Israk turut mengingatkan rakyat agar tidak mengulangi pengalaman ketidakstabilan politik yang pernah berlaku sehingga menjejaskan pentadbiran negeri.
“Kita pernah melalui fasa pertukaran kepimpinan yang memberi kesan kepada pentadbiran. Hari ini kerajaan BN telah membuktikan kemampuannya melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Justeru, saya merayu kepada seluruh pengundi supaya memberikan sokongan kepada Barisan Nasional demi menjamin kesinambungan pembangunan, kestabilan serta kemakmuran Johor untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya. – UMNO Online
