Onn Hafiz Bawa Johor Melonjak Maju, Rakyat Diseru Terus Pilih BN

BAKRI, 2 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Datuk Azman Ismail menyeru rakyat agar terus memberikan mandat kepada BN demi memastikan agenda pembangunan Johor dapat diteruskan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Berucap pada Majlis Sembang Santai Bersama Menteri Besar Johor di Dewan Cenderawasih, di sini, beliau menegaskan bahawa kepimpinan Onn Hafiz bukan sahaja berjaya membawa kestabilan politik, malah meletakkan Johor sebagai antara negeri yang paling pesat membangun di negara ini.

“Seluruh rakyat Johor menyaksikan sendiri bagaimana Menteri Besar itu memimpin negeri dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan pengorbanan demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

“Datuk Onn Hafiz Ghazi bukan sekadar memimpin sebuah negeri. Beliau memimpin dengan hati, jiwa dan pengorbanan yang berteraskan rasa tanggungjawab kepada rakyat.

“Beliau mewarisi amanah yang besar, namun dalam tempoh yang singkat Johor berjaya bangkit menjadi antara negeri yang paling pesat membangun di Malaysia,” katanya.

Seterusnya Azman yang juga Ketua UMNO Bahagian Bakri berkata kejayaan tersebut dapat dilihat menerusi peningkatan pelaburan, pertambahan peluang pekerjaan, pemerkasaan kebajikan rakyat, pembangunan pendidikan serta modal insan dan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

Malah katanya, pendekatan kepimpinan yang sentiasa turun padang dan mendengar suara rakyat menjadi antara faktor utama yang mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri hari ini.

“Kalau Johor mahu terus maju, Johor perlukan pemimpin seperti Datuk Onn Hafiz Ghazi. Rakyat tahu beliau bekerja, bukan sekadar bercakap. Beliau turun padang, bukan sekadar memberi arahan. Beliau mendengar, bukan sekadar menabur janji,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azman menegaskan bahawa pilihan raya kali ini bukan sekadar memilih wakil rakyat semata-mata, sebaliknya menentukan masa depan Johor dan generasi akan datang.

“Pilihan raya ini adalah tentang masa depan anak-anak kita, ekonomi negeri dan masa depan Johor yang kita cintai bersama.

“Sebab itu saya berdiri di hadapan rakyat dengan penuh pengharapan untuk memohon mandat dan kepercayaan menjadi suara rakyat di DUN Simpang Jeram,” katanya.

Beliau berkata dirinya tidak datang dengan janji-janji kosong, sebaliknya membawa tekad dan komitmen untuk bekerja bersama rakyat dalam membangunkan Simpang Jeram tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Saya datang membawa tekad, semangat dan komitmen untuk bersama-sama rakyat membangunkan Simpang Jeram. Jika diberikan amanah, saya akan bekerja sekuat tenaga demi rakyat sebagai satu keluarga besar Bangsa Johor,” katanya lagi.

Mengulas mengenai sasaran pilihan raya, beliau optimis BN mampu mencipta kejayaan lebih besar di kawasan Parlimen Bakri dengan mempertahankan kerusi DUN Bukit Naning serta merampas DUN Simpang Jeram dan Bentayan.

“Kita bukan sahaja mahu menang di Simpang Jeram, tetapi mahu mempertahankan kemenangan di Bukit Naning dan menawan Bentayan.

“Kita mahu kibarkan bendera Barisan Nasional di ketiga-tiga DUN ini sebagai tanda keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang membawa kestabilan dan pembangunan,” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Onn Hafiz, BN Johor mampu melakar satu lagi sejarah besar pada pilihan raya kali ini.

“Keyakinan ini bukan kerana sombong atau angkuh, tetapi kerana rakyat melihat sendiri kestabilan yang dibawa oleh Barisan Nasional.

“Rakyat mahukan kerajaan yang bekerja, pemimpin yang mendengar dan kepimpinan yang membawa pembangunan. Semua itu ada pada Barisan Nasional,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO