Jangan Pilih Berasaskan Emosi, Utamakan Masa Depan Layang-Layang – Zakaria 

LAYANG-LAYANG, 2 Julai – Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang diingatkan supaya tidak membuat keputusan berasaskan emosi atau sentimen kaum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya memilih Barisan Nasional (BN) demi memastikan kesinambungan pembangunan kawasan dan negeri.

Timbalan Ketua UMNO Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata keputusan meletakkan calon MCA di DUN Layang-Layang adalah keputusan kepimpinan BN yang perlu dihormati demi memperkukuhkan pasukan untuk mentadbir Johor.

Menurut beliau, BN sejak dahulu mengamalkan semangat perkongsian kuasa dan tidak pernah berdepan masalah meletakkan calon daripada mana-mana parti komponennya mengikut kesesuaian sesuatu kawasan.

“Di Parlimen Simpang Renggam, kita mempunyai dua DUN iaitu Machap yang diwakili calon UMNO dan Layang-layang yang diwakili MCA, manakaka Parlimen Simpang Renggam diwakili daripada UMNO. Ini adalah keputusan parti yang dibuat demi kekuatan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika turun membantu kempen calon BN DUN Layang-Layang, Chua Jian Boon bersama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan di Kampung Seri Pekan, Layang-Layang.

Tambah beliau, pengundi perlu berfikir secara rasional kerana sekiranya BN kembali membentuk kerajaan negeri tetapi Layang-Layang memilih wakil pembangkang, masyarakat di kawasan itu berkemungkinan tidak menikmati penyelarasan pembangunan secara menyeluruh.

“Jangan mengundi dengan perasaan marah atau kecewa. Fikirkan masa depan masyarakat dan kawasan ini. Pilihan yang dibuat hari ini akan menentukan hala tuju pembangunan Layang-Layang untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Pilihlah calon BN tanpa melihat soal kaum, sebaliknya lihat kepada kemampuan pasukan BN mentadbir kerajaan dan membawa pembangunan kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh pengundi supaya memberikan sokongan padu kepada Chua Jian Boon agar segala perancangan kerajaan negeri dapat dilaksanakan secara seiring di peringkat kawasan demi manfaat rakyat Layang-Layang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO