Gelombang Sokongan Di Layang-Layang, Beri Peluang Kepada BN
LAYANG-LAYANG, 2 Julai – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yakin gelombang sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang terus menunjukkan perkembangan positif berdasarkan sambutan yang diterima sepanjang kempen.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, sambutan yang diterima di pelbagai kawasan amat positif dan momentum tersebut perlu ditingkatkan menjelang hari pengundian pada Sabtu depan.
“Saya melihat sendiri pergerakan jentera BN di lapangan. Sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan saya yakin peluang BN untuk mencapai kemenangan semakin cerah jika momentum ini dapat dikekalkan sehingga hari pengundian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika turun membantu kempen calon BN DUN Layang-Layang, Chua Jian Boon bersama Timbalan Ketua UMNO Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah, di Kampung Seri Pekan, Layang-Layang.
Menurut Ahmad, BN sentiasa mengamalkan semangat perkongsian dan parti berkenaan sejak daripada dahulu merupaan sebuah parti yang adil.
“Atas komposisi pengundi yang ada, wajarlah kita memberi peluang kepada MCA dan rakan-rakan komponen kita lain termasuklah di DUN Layang-Layang ini. Inilah kekuatan BNl yang sentiasa mengamalkan semangat perkongsian dan mewakili semua kaum demi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat pembelaan,” katanya.
Beliau dalam masa sama mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu yang kononnya mampu membentuk kerajaan negeri, sedangkan hakikatnya tidak mempunyai kemampuan berbuat demikian.
“Pengundi perlu membuat pilihan yang bijak dengan menyokong parti yang benar-benar berupaya mentadbir serta membawa pembangunan dan manfaat kepada rakyat. Jangan terpedaya dengan dakwaan yang tidak berpaksikan realiti,” ujarnya.
Tambah beliau, setiap analisis politik perlu bersandarkan fakta dan keadaan sebenar di lapangan, bukannya sekadar andaian atau teori.
“Kita perlu melihat sendiri keadaan di bawah, mendapatkan data dan fakta yang tepat. Analisis yang tidak berasaskan realiti di lapangan boleh didengar, tetapi tidak semestinya boleh dipercayai,” katanya lagi. – UMNO Online
