BN Tampil Dengan Fakta, Bukan Fitnah Yakinkan Rakyat Johor – Dr Zambry
TANJUNG PIAI, 2 Julai – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pendekatan politik yang dibawa BN sentiasa berteraskan fakta, rekod pencapaian dan manifesto, bukannya memainkan sentimen atau menabur fitnah untuk meraih sokongan rakyat.
Beliau berkata, sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, BN kekal konsisten menyampaikan tawaran yang mampu dilaksanakan, berbeza dengan pihak lawan yang menurutnya lebih gemar menggunakan ceramah berbaur fitnah bagi menggugat keyakinan rakyat.
“Seperti biasa, pendekatan Barisan Nasional ini kita tidak tahu hendak memaki orang. Kita tidak tahu menabur fitnah kerana kita diajar untuk memberikan yang terbaik melalui apa yang dapat kita laksanakan menerusi manifesto kita.
“Bagi mereka, mereka hendak melakukan apa sahaja termasuk fitnah melalui ceramah-ceramah untuk menggoncang keyakinan rakyat. Namun saya percaya rakyat Johor tidak mudah terpengaruh dengan cara-cara seperti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkempen di Kukup, hari ini.
Menurut Zambry, kekuatan sebenar BN terletak pada rekod pentadbiran yang telah dibuktikan sepanjang lebih empat tahun menerajui kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dengan sokongan semua wakil rakyat Barisan Nasional.
Katanya, pencapaian Johor dalam pelbagai sektor termasuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi menjadi bukti jelas keupayaan kerajaan negeri membawa kemajuan serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Paling mustahak ialah cara kita, cara Barisan Nasional, iaitu menyatakan apa yang dapat kita lakukan. Apa yang kita janjikan telah dibuktikan melalui pentadbiran kerajaan negeri.
“Rakyat telah melihat sendiri prestasi kerajaan Barisan Nasional dan mereka juga telah membuat perbandingan dengan pihak lain. Saya yakin rakyat akan terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional,” katanya.- UMNO Online
