BN Optimis Momentum Kempen PRN Johor, Sasar Kemenangan Lebih Besar

PENGERANG, 2 Julai – Barisan Nasional (BN) yakin momentum kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin positif dan menyasarkan kemenangan lebih besar bagi membolehkan kerajaan negeri meneruskan agenda pembangunan serta melaksanakan manifesto yang telah dirancang.

Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata BN menghargai sebarang sokongan yang diterima daripada mana-mana pihak, namun keutamaan parti adalah memastikan sokongan itu diterjemahkan kepada undi pada hari pengundian, 11 Julai ini.

“BN merasakan bahawa kempen ini sedang rancak dilakukan. Tentunya apa yang diperkirakan oleh gabungan lain adalah hak mereka sama ada untuk menyokong atau sebaliknya. Kita berterima kasih jika sokongan itu dapat diterjemahkan dalam bentuk undi pada 11 Julai nanti,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, kerajaan Johor yang diterajui BN telah dibentuk sebelum kewujudan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, justeru tidak timbul isu kerjasama yang boleh menjejaskan pentadbiran negeri.
Menurutnya, BN yang mempertaruhkan 56 calon dalam PRN kali ini bukan sahaja mahu mempertahankan kerajaan negeri, malah berhasrat memperoleh majoriti kemenangan yang lebih besar.

“Tentunya BN yang meletakkan 56 calon mahu kemenangan yang selesa dan kita berhasrat untuk membentuk kerajaan serta memperoleh jumlah kemenangan yang bertambah. Jika ada dukungan daripada pihak lain, sudah tentu ia memberikan kelebihan kepada pihak kita,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, prestasi pentadbiran kerajaan Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menjadi antara kekuatan utama BN dalam meraih keyakinan rakyat.

Katanya, pelbagai bantuan dan inisiatif yang dilaksanakan telah disalurkan kepada kumpulan sasar di seluruh Johor tanpa mengira kaum atau latar belakang, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap kebajikan Bangsa Johor.

Beliau turut menjelaskan manifesto BN bagi PRN Johor disusun berdasarkan keperluan serta fokus setiap kawasan, dengan perancangan pembangunan untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Manifesto yang dibentangkan memperlihatkan perancangan berdasarkan kawasan fokus yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai pendekatan parti lawan sepanjang kempen, Ahmad Zahid menegaskan BN kekal bergerak secara profesional dengan memberi sepenuh tumpuan kepada calon-calon yang bertanding.

“BN bergerak secara profesional dan memberikan tumpuan kepada calon-calon kita. Jika ada dukungan tambahan, itu lebih baik dan keputusan sebenar akan ditentukan pada 11 Julai apabila peti-peti undi menjadi bukti nyata,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Sanjungan Legasi KEJORA Tahun 2025 serta Majlis Sentuhan Kasih KEJORA, hari ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO