‘Semoga Warden Bekas Tentera Bantu Perkukuh Keselamatan, Disiplin Pelajar MRSM’ – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan seramai 16 warden lelaki dalam kalangan bekas anggota tentera telah mula melaporkan diri bagi memulakan tugas di beberapa Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO, berkata seramai 16 lagi warden wanita yang turut terdiri daripada bekas anggota tentera dijadualkan melaporkan diri pada minggu hadapan bagi melengkapkan penempatan kumpulan pertama tersebut.

“Kelmarin, seramai 16 orang warden lelaki bekas tentera telah mula melaporkan diri dan menjalani sesi taklimat dan pengenalan MRSM bersama pihak Pengurusan Maktab. InsyaAllah 16 lagi warden wanita bekas tentera akan menyusul minggu hadapan.

“Mereka diwajibkan menghadiri sesi orientasi dan pengenalan Maktab yang dikendalikan oleh Pengetua-pengetua MRSM yang terlibat.

“Sesi ini bertujuan memberikan pendedahan awal berkaitan struktur pengurusan maktab, peraturan, serta peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh para warden,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Dr Asyraf setiap MRSM diperuntukkan empat orang warden iaitu dua lelaki dan dua wanita, antaranya MRSM Besut, MRSM Balik Pulau, MRSM Muadzam Shah Rompin, MRSM Sultan Azlan Shah, MRSM Serting, MRSM Kubang Pasu, MRSM Jeli, MRSM Parit, MRSM Kuala Berang dan MRSM Muar.

Katanya lagi pelaksanaan program itu akan diperluaskan secara berperingkat sehingga melibatkan semua 58 MRSM di seluruh negara bermula 1 Januari 2027.

“Diharapkan mereka dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi serta membantu pihak maktab dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan disiplin pelajar sentiasa terpelihara.

“Semoga hasrat kita untuk menyaksikan MRSM bebas dan sifar buli akan menjadi kenyataan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO