RUU Keselamatan Siber: Penguatkuasaan Mesti Mendahului Penjenayah

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Penguatkuasaan jenayah siber negara perlu bergerak lebih pantas seiring perkembangan teknologi yang kini semakin kompleks dan dimanfaatkan sebagai senjata oleh penjenayah.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan berkata, ancaman siber hari ini bukan lagi sekadar melibatkan individu yang menggunakan komputer untuk melakukan jenayah, sebaliknya teknologi itu sendiri telah menjadi alat utama untuk memudahkan kegiatan tersebut.

“Apa yang kita hadapi hari ini bukan lagi penjenayah yang menggunakan komputer… tetapi penjenayah yang menjadikan teknologi sebagai senjata. Jika dahulu penjenayah perlu mahir menggunakan teknologi, hari ini teknologi pula memudahkan sesiapa sahaja menjadi penjenayah.

“Mereka menggunakan pelbagai taktik seperti phishing untuk memperdaya mangsa mendapatkan maklumat sulit, ‘deepfake’ untuk menghasilkan kandungan palsu yang meyakinkan dan perisian hasad (malware) untuk menceroboh sistem dan mencuri data. Persoalannya, adakah keupayaan penyiasatan negara berkembang sepantas ancaman ini?

“Kuala Pilah berpandangan, pelaburan terbesar selepas Akta ini diluluskan bukanlah kepada hukuman yang lebih berat semata-mata, tetapi kepada pembinaan keupayaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber di Parlimen, sebentar tadi.

Ujarnya, lebih ramai pakar forensik digital, penyiasat siber yang berkemahiran tinggi, pendakwa raya yang mahir mengendalikan bukti elektronik serta pelaburan berterusan dalam teknologi forensik digital.

“Tanpa keupayaan tersebut, undang-undang yang baik sekali pun akan berdepan kesukaran untuk mencapai matlamatnya. Dalam konteks ini, Kuala Pilah berharap Jawatankuasa Memerangi Jenayah Siber yang akan diwujudkan melalui Bahagian II RUU ini benar-benar berfungsi sebagai badan penyelaras strategik yang mampu memperkukuh kerjasama antara agensi dan bukan sekadar menjadi platform penyelarasan di atas kertas.

“Sehubungan itu, Kuala Pilah ingin bertanya kepada Menteri, apakah pelan kerajaan untuk memperkukuh kapasiti penguatkuasaan jenayah siber negara? Lebih penting, apakah indikator utama yang akan digunakan oleh kerajaan untuk mengukur keberkesanan pelaksanaan akta ini dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang? Adakah melalui kadar penyelesaian kes, tempoh penyiasatan, kadar pendakwaan, pengurangan jumlah mangsa atau petunjuk prestasi yang lain?

“Merujuk kepada Fasal 23 yang memperuntukkan kesalahan berkaitan kandungan yang dijana atau dimanipulasi menggunakan sistem komputer, Kuala Pilah menyambut baik langkah Kerajaan mengambil kira ancaman teknologi baharu dalam RUU ini.

“Namun, perkembangan kecerdasan buatan (AI) berlaku jauh lebih pantas daripada proses menggubal undang-undang,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menzahirkan keyakinan bahawa RUU ini merupakan satu langkah yang amat diperlukan untuk memperkukuh keselamatan siber negara.

“Kuala Pilah percaya RUU ini merupakan satu langkah yang tepat dan amat diperlukan. Namun, kejayaannya bukan akan diukur berdasarkan jumlah hukuman yang diperuntukkan, tetapi sejauh mana ia benar-benar mampu melindungi rakyat daripada ancaman jenayah siber.

“Kejayaan itu bergantung kepada keupayaan kerajaan memperkukuh penguatkuasaan, memastikan undang-undang sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi serta membina keyakinan rakyat terhadap Perkhidmatan Identiti Digital Negara.

“Jika kita gagal membina keyakinan itu, maka segala usaha pendigitalan negara akan berdepan cabaran yang lebih besar. Ini kerana akhirnya, kepercayaan ialah mata wang paling bernilai dalam ekonomi digital,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO