Kesepaduan Jentera Perkukuh Keyakinan BN Menang – Johan

BATU PAHAT, 1 Julai – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan Abd Aziz menegaskan UMNO Selangor komited menggalas amanah membantu jentera tempatan di Batu Pahat bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional BN (BN) pada Pilihan Raya Negeri PRN Johor.

Beliau berkata, keyakinan terhadap kemampuan BN semakin meningkat apabila melihat kesungguhan serta komitmen jentera di peringkat pusat dan akar umbi yang bergerak secara tersusun sepanjang tempoh berkempen.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi. Apa yang kita lihat hari ini adalah satu isyarat yang cukup positif apabila seluruh jentera berganding bahu dalam memastikan kemenangan BN.

“UMNO Selangor hadir untuk membantu jentera tempatan. Gerak kerja ini dilaksanakan daripada peringkat pusat sehingga ke kampung dengan penglibatan semua sayap parti termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai program kempen bersama jentera BN di kawasan Parlimen Batu Pahat. Turut hadir tiga calon BN iaitu Mohd Yusla Ismail (Senggarang), Mohd Zaidi Japar (Rengit) dan Boo Chin Leong di DUN Penggaram.

Menurut Johan, pelbagai program turun padang akan terus diperhebat dalam tempoh berkempen bagi mendekati segenap lapisan masyarakat, khususnya golongan muda, selain menyampaikan mesej serta tawaran BN kepada pengundi.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa kerjasama erat antara jentera UMNO Selangor dan jentera tempatan akan memperkukuhkan lagi usaha mempertahankan kerusi sedia ada serta meraih kemenangan di kerusi yang ditandingi BN.

“Insya-Allah, kita akan terus bekerja bersungguh-sungguh sehingga hari pengundian. Amanah yang diberikan ini akan digalas sebaik mungkin demi memastikan Barisan Nasional memperoleh mandat rakyat untuk meneruskan agenda pembangunan Johor,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO