Inovasi MPOB Bukti Keupayaan Penyelidikan Tempatan Bertaraf Dunia – Noraini

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan pelancaran sembilan teknologi dan perkhidmatan baharu berimpak tinggi oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membuktikan keupayaan penyelidikan tempatan yang semakin berkembang dan bertaraf dunia.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, inovasi tersebut bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, sebaliknya turut memperkukuh daya saing industri sawit negara melalui aplikasi yang boleh diterjemahkan kepada nilai komersial.

“Pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan inovasi baharu, malah menjadi bukti bahawa keupayaan penyelidikan tempatan terus berkembang dalam menghasilkan teknologi bertaraf dunia yang mampu memperkukuh daya saing industri sawit negara.

“Antara inovasi yang diperkenalkan termasuk solusi kecerdasan buatan (AI) SawitSCAN, inovasi oleokimia Sawit EcoTherm, serta produk makanan generasi baharu yang berpotensi memberi nilai tambah kepada keseluruhan rantaian industri sawit,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Noraini dalam pada itu meluahkan keterujaan apabila melihat hasil penyelidikan anak tempatan yang bukan sahaja menepati keperluan industri, malah mampu diterjemahkan kepada aplikasi komersial yang memberi manfaat kepada pengusaha, pemain industri dan ekonomi negara secara keseluruhan.

“Inilah bukti bahawa pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan akan terus menjadi pemacu kepada kemajuan sektor agrikomoditi negara,” ujar beliau.

Sementara itu majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian enam pertukaran dokumen Memorandum Perjanjian (MoA/MoU) serta penyerahan dua Surat Hasrat (LoI) bersama syarikat tempatan dan dewan perniagaan.

Beliau juga berharap kerjasama strategik ini dapat mempercepatkan proses pengkomersialan teknologi serta memperluaskan penggunaan inovasi berasaskan sawit ke pasaran yang lebih luas.

“Insya-Allah, Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi MPOB akan terus komited memperkasa agenda penyelidikan, inovasi dan pemindahan teknologi agar industri sawit Malaysia kekal mampan, inklusif, berdaya saing dan terus menjadi penyumbang penting kepada kemakmuran ekonomi negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO