Cikgu Selamat Takim Nafi Tohmahan Tiada Pembangunan Di DUN Sg Balang
MUAR, 1 Julai – Calon dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang Cikgu Selamat Takim menafikan tohmahan yang dilemparkan terutama di ruang media sosialnya kononnya tiada pembangunan sepanjang beliau menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.
Tambahnya, ia tidak terhenti di situ apabila turut dihujani kecaman hanya kerana beliau sering menyiarkan berita-berita melakukan ziarah kepada orang yang sakit dan orang meninggal dunia di dalam Facebooknya.

“Tuduhan tersebut adalah tidak berasas sama sekali kerana pelbagai projek impak tinggi bernilai jutaan ringgit sedang dan telah dilaksanakan antaranya projek jalan dan jalan bertar baharu yang bernilai RM1 juta kini memberikan keselesaan kepada penduduk, termasuk akses ke Parit Jawa.
“Penambahan kawasan sawah padi baharu seluas 50 hektar yang bernilai RM2 juta, selain peruntukan jentera pertanian sebanyak RM1.5 juta; Menaik taraf Klinik Parit Yusuf dengan kos RM780,000 demi keselesaan ibu mengandung dan warga tempatan.
“Projek mega bernilai RM84 juta untuk membina 260 unit Rumah Mampu Johor di Parit Jamil kini dalam proses penyediaan tapak. Rumah-rumah ini bakal ditawarkan pada harga RM100,000 hingga RM150,000 untuk golongan muda,” katanya.

Selain itu katanya, pembinaan Jambatan Parit Kasim baharu bernilai RM20 juta yang telah dibangkitkan di peringkat Mesyuarat Tindakan Daerah, Sidang DUN dan Persekutuan serta peruntukan sebanyak RM800,000 telah diperoleh untuk mengatasi masalah banjir dan ombak besar di Sri Menanti, selain peruntukan RM500,000 untuk kemudahan lain.
Sebagai anak tempatan, beliau menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan nasib penduduk DUN Sungai Balang melalui beberapa perancangan masa depan.
“Membangunkan tanah seluas 10 ekar di tepi jalan utama untuk dijadikan MEG (Maharani Energy Gateway) bagi mewujudkan kursus maritim dan perkapalan di Parit Yusuf dan membawa pembinaan Balai Bomba baharu di Mukim Sri Menanti yang kini telah pun diluluskan,” katanya.
Sempena PRN Johor kali ini, beliau menyeru agar seluruh pengundi dan jentera BN terus fokus, merapatkan saf dan mengekalkan momentum kemenangan sehingga hari pengundian pada 11 Julai ini di samping bertekad meningkatkan majoriti undi.
Mengulas mengenai gerak kerja PRN ini, beliau menegaskan bahawa seluruh jentera di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah pun bergerak aktif dan menunjukkan momentum yang sangat positif. – UMNO ONLINE
