Gerakan Jatuhkan MB N9, Ahli UMNO Jangan Terpengaruh
KUALA LUMPUR, 6 Nov – Ahli-ahli UMNO diseru untuk tidak terpengaruh dengan berita mengenai gerakan menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin menerusi satu kenyataan berkata, mereka memandang serius propaganda yang dimainkan.

“Mengambil maklum tentang satu berita berkenaan wujudnya gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan yang sedang berlegar di Media Sosial.
“Pemuda UMNO Negeri Sembilan memandang serius tentang propaganda dimainkan oleh pihak yang cuba menjadi ‘batu api’. Mereka tidak mahu melihat keharmonian yang terjalin antara pimpinan UMNO Negeri Sembilan ketika ini.
“Sebagai Pemuda UMNO dan ahli UMNO, saya mohon agar seluruh Ahli Pergerakan Pemuda UMNO bertenang dan tidak mudah dipengaruhi oleh berita yang cuba melaga lagakan pimpinan tertinggi UMNO Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban menegaskan bahawa semua pihak perlu bersatu untuk menolak provokasi dan tidak menjadi alat propaganda politik pihak tertentu.

“Pemuda UMNO perlu lebih bijak dan matang dalam mengawal emosi serta tidak mudah terpengaruh dengan naratif dimainkan pihak lawan yang sememangnya tidak akan pernah berhenti memainkan propaganda politik.
“Oleh yang demikian saya berharap seluruh Ahli Pemuda UMNO perlu bersama dalam satu saf dan tidak ‘mencurah minyak ke dalam api’ yang sedang dinyalakan pihak lawan. Ia tidak akan memadam api tersebut malahan akan memarakkan dan akan membakar rumah yang telah kita jaga sekian lama.
“Pemuda UMNO Negeri Sembilan harus kekal bersatu, matang dan berdisiplin menolak provokasi serta tidak menjadi alat propaganda pihak luar demi mempertahankan keharmonian dan kestabilan parti,” katanya lagi. – UMNO Online
