PRN Melaka: Ahmad Zahid Ingatkan Jentera BN Lebih Berhikmah Ketika Berkempen

ISTANBUL, 6 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan seluruh jentera parti agar lebih berhikmah ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata ketika kempen pilihan raya semakin rancak antara BN dan Perikatan Nasional (PN), namun ia turut menyaksikan terdapat beberapa pertelingkahan yang sepatutnya dielakkan.

“Pendirian saya dan pengerusi parti gabungan di sebelah sana (PN) adalah untuk menghormati apa yang telah kita sepakati.

“Walaupun tiada perjanjian secara rasmi, namun kesefahaman itu amat penting,” katanya kepada media Malaysia selepas pramesyuarat bersama pegawai perwakilan dan delegasi negara bersempena dengan lawatan kerjanya ke Turkiye di sini semalam.

Ahmad Zahid berkata kempen yang dijalankan secara berlebihan termasuk membangkitkan isu yang tidak berkaitan dengan PRN, tidak akan mengubah pendirian atau keputusan yang telah dibuat oleh pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO