PRN Melaka: Calon BN Miliki Rekod Baik, Kepimpinan Seimbang
ALOR GAJAH, 5 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan barisan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai sebagai gabungan seimbang yang merangkumi calon berpengalaman dan muka baharu.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) berkata, kepelbagaian latar belakang calon itu mencerminkan keseimbangan kepimpinan serta kekuatan BN dalam menawarkan wakil rakyat yang berupaya membawa aspirasi rakyat.
“Kalau kita lihat, gabungan ini cukup cantik kerana ada yang muda, ada yang berpengalaman, wanita dan juga pemuda. Kita bekerja sebagai satu keluarga.
“Paling mustahak, mereka yang berpengalaman dan dicalonkan semula mempunyai rekod yang baik, manakala muka baharu juga mempunyai rekod kepimpinan yang baik walaupun bukan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya.
Shahrizat berkata demikian ketika ditemui UMNO Online ketika melakukan ziarah kasih ke Jalan Surau Batu di DUN Ayer Molek sebentar tadi.
Mengulas mengenai program Ziarah Kasih, beliau berkata, inisiatif itu bertujuan mendekati masyarakat untuk tindakan lanjut.
Katanya, maklum balas yang diterima daripada penduduk setempat amat positif, sekali gus mencerminkan penerimaan baik terhadap usaha mendekati rakyat secara langsung.
“Kerja kita adalah untuk melihat apa masalah dan isu yang perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa. Kita sedang mengumpulkan perkara-perkara ini supaya pihak berkuasa dapat memberi perhatian selepas pilihan raya nanti.
“Secara umumnya, maklum balas yang kita terima menunjukkan kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Ketua Menteri telah melaksanakan tugas dengan baik, termasuk dalam menjaga kebajikan rakyat,” ujar beliau.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
