BN Tepati Aspirasi Rakyat, Johor Perlu Kekal Stabil – Latif Bandi

MERSING, 1 Julai – Bekas Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abdul Latif Bandi menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) sentiasa menepati kehendak rakyat, khususnya dalam aspek pendidikan dan kebajikan masyarakat di negeri ini.

Menurutnya, keutamaan BN jelas memperlihatkan usaha berterusan dalam membantu rakyat yang memerlukan, seiring dengan kemakmuran dan pembangunan yang dikecapi Johor ketika ini.

“Barisan Nasional (BN) sentiasa mengutamakan keperluan rakyat serta memenuhi aspirasi Bangsa Johor. Rakyat negeri ini memerlukan akses kepada pendidikan yang berkualiti, di samping bantuan yang berterusan kepada golongan yang memerlukan.

“Justeru, kerajaan yang stabil perlu dikekalkan bagi memastikan kemasukan pelaburan terus meningkat. Kemakmuran yang dijana daripada pembangunan ekonomi itu akan dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif dan program kebajikan.

“Manifesto BN membuktikan kesungguhan parti untuk meneruskan agenda pembangunan negeri secara mampan, sekali gus menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah beliau lagi, jika momentum ini terputus, yang akan menanggung kerugian adalah rakyat sendiri.

“Kita tidak mahu pembangunan yang sedang berjalan ini terganggu dan menyeru rakyat Johor terus memberi kepercayaan kepada BN demi memastikan agenda pembangunan, kestabilan dan kebajikan Bangsa Johor terus terpelihara dan diperkukuhkan.

Beliau yang juga bekas ADUN Endau menjelaskan bahawa calon BN bagi DUN Endau, Alwiyah Talib atau lebih dikenali sabagai Kak Awi memiliki sentuhan peribadi yang kuat terhadap para pengundi.

“Sentuhan peribadi yang ditunjukkan oleh Kak Awi menjadi faktor utama kepada peningkatan populariti beliau dalam kalangan pengundi setempat, khususnya apabila beliau sentiasa mendekati rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Kita tahu sepanjang dua penggal ini, ada banyak perkara yang menjadikan DUN Endau agak ketinggalan. Namun dengan kerjasama semua pihak, kita yakin keadaan ini boleh diperbaiki,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa gembira dengan sambutan masyarakat terhadap gerak kerja yang dijalankan ketika ini, termasuk sokongan daripada pengundi atas pagar.

“Saya lihat momentum ini akan terus kekal berdasarkan prestasi dan penerimaan rakyat terhadap Kak Awi sebelum ini,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO