BN Buktikan Semangat Muafakat Atasi Perbezaan – Youzami

TENGGAROH, 1 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Youzami Yusof menyifatkan peluang yang diberikan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi itu sebagai satu pengiktirafan besar selepas lebih empat dekad kerusi berkenaan diwakili parti komponen lain dalam BN.

Menurut beliau, sebelum ini kerusi DUN Tenggaroh diwakili oleh MIC selama kira-kira 40 tahun, manakala sebelum itu pula dipegang oleh MCA, menjadikan tempoh keseluruhannya melebihi 40 tahun.

“Kali ini UMNO diberi kepercayaan untuk bertanding di DUN Tenggaroh. Ini merupakan satu pengiktirafan kepada UMNO dan kami berharap rakyat akan terus memberikan sokongan kepada BN untuk memastikan kemenangan di kerusi ini.

“Pengundi di N.33 Tenggaroh sangat setia kepada BN. Siapa sahaja calon yang dipilih, mereka menerimanya dengan baik kerana mereka yakin kepada perjuangan parti,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Mersing berkata, keputusan memberikan laluan kepada UMNO bukanlah berasaskan sentimen kaum, sebaliknya hasil persefahaman yang dicapai antara parti-parti komponen BN di Bahagian Mersing.

“UMNO, MCA dan MIC telah bermuafakat untuk memberikan peluang kepada UMNO bertanding kali ini. Seperti yang dijelaskan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ini bukan isu perkauman kerana jumlah pengundi India di kawasan ini hanya sekitar 500 orang.

“Sudah tiba masanya pengundi setia di Tenggaroh diberikan peluang untuk memilih seorang wakil rakyat Melayu daripada BN. Saya yakin rakyat akan terus memberikan mandat kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini,” katanya lagi.

Dalam masa sama Youzami menjelaskan pendekatan turun padang dan menyantuni penduduk dari rumah ke rumah membuktikan masyarakat di DUN Tenggaroh terbuka menerima kehadiran beliau tanpa mengira kaum.

“Setakat ini, penerimaan daripada rakyat sangat baik. Hari ini sahaja kami mengadakan ziarah dari rumah ke rumah di Taman Sri Nahkoda dengan mengunjungi 10 buah rumah.

“Alhamdulillah… mereka membuka pintu seluas-luasnya untuk kami bertemu dan beramah mesra. Sama ada masyarakat Melayu, Cina mahupun India, semuanya memberikan penerimaan yang sangat positif terhadap kehadiran kami.

“Saya harap sokongan ini akan terus berkekalan sehingga hari pengundian pada 11 Julai nanti dan berterusan selepas itu kerana hasrat kami adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat, bukan hanya ketika pilihan raya,” jelasnya.

Seterusnya kata beliau lagi menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera BN yang bertungkus-lumus bekerja sepanjang kempen.

“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua jentera yang sanggup meninggalkan urusan peribadi, keluar seawal pagi hingga larut malam bagi memastikan kemenangan calon BN di N.33 Tenggaroh dengan majoriti yang lebih besar, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO