Bekas ADUN Dap Bongkar, Ruang Rakyat Menilai

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata pendedahan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berhubung pengalamannya dalam Dap membuka ruang kepada rakyat menilai sendiri dakwaan mengenai amalan politik persepsi yang dimainkan parti itu.

Menurut beliau, Marina bukan pemimpin UMNO mahupun Perikatan Nasional, sebaliknya bekas wakil rakyat Dap yang pernah berada dalam kepimpinan parti berkenaan, justeru pandangannya wajar diberi perhatian.

“Apabila seorang bekas wakil rakyat Dap sendiri tampil menceritakan bagaimana persepsi pengundi diurus, bagaimana sesuatu isu dinilai berdasarkan kesan politiknya dan bagaimana sentimen rakyat dipertimbangkan mengikut keperluan semasa, maka rakyat berhak bertanya sama ada inilah budaya politik yang sebenarnya diamalkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut membangkitkan persoalan berhubung dakwaan bahawa UMNO sering dituduh menjadikan isu Datuk Seri Najib Razak sebagai modal politik, sedangkan pendedahan Marina, menurutnya, menimbulkan persoalan sama ada terdapat pihak lain yang sebenarnya memperalatkan isu tersebut mengikut musim dan keperluan politik.

Katanya, sekiranya sesuatu isu benar-benar berlandaskan prinsip, pendirian itu seharusnya diterjemahkan secara konsisten dan bukannya hanya diketengahkan apabila suasana politik berubah atau menjelang pilihan raya.

Tambah beliau, rakyat hari ini semakin matang untuk membezakan antara prinsip yang benar-benar diperjuangkan dengan prinsip yang hanya digunakan apabila memberi keuntungan politik.

“Yang lebih penting bukan siapa paling lantang bercakap mengenai prinsip dan integriti, tetapi siapa yang benar-benar konsisten antara apa yang diucapkan dengan apa yang dilakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata rakyat Johor tidak membuat pilihan berdasarkan drama politik atau permainan persepsi, sebaliknya menilai kejujuran, kestabilan dan kemampuan sesebuah parti mentadbir negeri dengan berkesan.

Beliau berkata ketika rakyat berdepan cabaran kos sara hidup, peluang pekerjaan, pelaburan dan pembangunan negeri, keutamaan adalah penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat, bukannya polemik politik yang berulang setiap kali musim pilihan raya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO