Wan Rosdy Pengerusikan Mesyuarat KUPSB, Kenal Pasti Peluang Ekonomi Baharu Negeri Pahang
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Koridor Utiliti Pahang Sdn Bhd (KUPSB) dan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah KUP Land untuk mengenal pasti peluang ekonomi baharu Negeri Pahang.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut turut meneliti hala tuju strategik dan prestasi semasa agar agenda pembangunan Negeri Pahang terus diperkasa.

“Pada Isnin saya telah mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah KUPSB dan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah KUP Land bagi meneliti hala tuju strategik, prestasi semasa serta perancangan pembangunan kedua-dua syarikat demi memastikan agenda pembangunan Negeri Pahang terus diperkasakan.
“Sudah pastinya mesyuarat ini menjadi platform penting untuk menilai pencapaian, memperkukuh tadbir urus, memperhalusi strategi perniagaan dan mengenal pasti peluang-peluang baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO turut berharap agar KUPSB dan KUP Land menjadi pemangkin kepada pembangunan hartanah yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya berharap agar KUPSB dan KUP Land terus melangkah ke hadapan sebagai syarikat berkaitan kerajaan negeri yang progresif, berdaya saing dan mampan di samping menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur, pengurusan utiliti yang lebih cekap serta pembangunan hartanah yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya. – UMNO Online
