Tolak Politik Individu, Utamakan Kepentingan Parti – Onn Hafiz

BATU PAHAT, 30 Jun – Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan seluruh kepimpinan dan ahli parti agar meletakkan perjuangan parti mengatasi kepentingan individu demi memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di DUN Rengit, beliau menegaskan proses pemilihan calon merupakan hak kepimpinan parti dan setiap keputusan yang dibuat perlu diterima dengan hati terbuka serta semangat perjuangan yang tinggi.

Menurut beliau, walaupun ramai pemimpin di kawasan Batu Pahat mempunyai kelayakan untuk diangkat sebagai calon, namun parti akhirnya membuat keputusan memilih calon yang diyakini mampu membawa kemenangan kepada BN.

“Di Batu Pahat ramai yang layak menjadi calon, namun akhirnya parti memilih saudara Zaidi. Inilah keputusan pucuk pimpinan yang perlu kita hormati dan dukung bersama,” katanya.

Dalam masa yang sama, Onn Hafiz turut menzahirkan kekesalan terhadap tindakan segelintir pihak yang cuba mengheret institusi Istana Johor ke dalam polemik politik.

Tegas beliau, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah boleh mengelirukan rakyat kerana institusi diraja sentiasa menjadi payung kepada seluruh rakyat Johor tanpa mengira fahaman politik.

“Sebab itu ramai pemimpin UMNO dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis sebagai tanda tidak bersetuju dengan cubaan mengaitkan institusi istana dalam politik. Di Johor, hubungan antara Istana Johor dengan rakyat amat erat dan wajib dipelihara,” katanya.

Turut hadir tiga calon BN iaitu Mohd Yusla Ismail (Senggarang), Mohd Zaidi Japar (Rengit) dan Boo Chin Leong di DUN Penggaram.

Beliau pada masa sama menyeru rakyat terus memberikan mandat kepada BN bagi membolehkan pelbagai agenda kebajikan yang dilaksanakan kerajaan negeri diteruskan.

Katanya, pelbagai inisiatif seperti Program Jualan Kasih Johor dan Bantuan Kasih Johor telah memberi manfaat besar kepada rakyat, malah kerajaan negeri komited menambah baik lagi bantuan berkenaan selaras dengan peningkatan hasil negeri.

“Kita menolak politik sempit dan politik individu. Kita berjuang sebagai satu pasukan demi memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan kemajuan Johor dapat diteruskan,” ujarnya.

Mengulas mengenai semangat perjuangan parti, Onn Hafiz turut menjadikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Ayub Jamil sebagai contoh pemimpin yang wajar dicontohi.

Katanya, meskipun tidak dicalonkan semula, Ayub menerima keputusan parti dengan penuh kematangan serta terus memberikan sokongan kepada calon BN tanpa sesekali menyerang parti atau kepimpinan.

“Itulah contoh pejuang parti yang sebenar. Beliau meletakkan kemenangan BN mengatasi kepentingan diri. Semangat seperti ini perlu menjadi teladan kepada seluruh kepimpinan dan jentera parti,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO