Presiden Pas Sudah Jelas Menolak PH, Mengapa Bersatu Masih Berdolak-Dalik?

SAYA menyambut baik ketetapan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyeru pengundi supaya tidak memberikan undi kepada Pakatan Harapan, termasuk di kerusi yang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Barisan Nasional dan PH.

Dalam konteks pertembungan tersebut, mesejnya cukup jelas.
Jika mahu menyekat kemenangan PH, pilihan yang ada ialah Barisan Nasional.
PAS telah menunjukkan kematangan politik dengan meletakkan kepentingan perjuangan mengatasi ego kepartian. Walaupun PAS dan BN mempunyai perbezaan politik, PAS berani mengambil pendirian yang jelas apabila berhadapan dengan pilihan antara BN dan PH.

Namun, pendirian Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berbeza.
Beliau dilaporkan enggan mengarahkan ahli Bersatu menyokong mana-mana parti lain di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional.

Ini menimbulkan persoalan yang wajar dijawab oleh Bersatu.
Adakah Bersatu benar-benar mahu menyekat kemenangan PH, atau kebencian mereka terhadap UMNO lebih besar sehingga sanggup membiarkan PH mendapat keuntungan?

Lebih penting, apakah sebenarnya hala tuju pengundi-pengundi PN dalam PRN Johor ini?
Adakah mereka perlu mengikuti pendirian Presiden PAS yang secara jelas menyeru supaya PH ditolak, atau pendirian Presiden Bersatu yang enggan memberikan arahan kepada ahli dan penyokongnya?

Bagaimana dua parti dalam gabungan yang sama boleh memberikan isyarat yang berbeza kepada pengundi mereka?

Jika kepimpinan PN sendiri tidak mampu menyelaraskan pendirian mengenai parti yang perlu disokong, bagaimana pengundi mahu mengetahui arah perjuangan sebenar gabungan tersebut?

Pengundi PN berhak mendapat jawapan yang jelas. Mereka tidak sepatutnya dibiarkan terumbang-ambing atau dipaksa mentafsir sendiri arahan yang bercanggah daripada kepimpinan tertinggi gabungan mereka.

Selama ini Bersatu begitu lantang menyerang UMNO dengan pelbagai label dan tuduhan. UMNO dituduh kononnya tunduk kepada PH dan DAP.

Tetapi apabila tiba masanya untuk membuat pilihan yang nyata antara BN dan PH, PAS berani memberikan pendirian yang jelas, sedangkan Bersatu memilih untuk berdolak-dalik.

Politik memerlukan kejelasan.

Dalam pertembungan dua penjuru, tidak memilih BN bermakna membuka ruang kepada PH untuk menang. Tidak ada pilihan ketiga dan tidak ada ruang untuk bermain dengan bahasa politik yang mengelirukan pengundi.

BN tidak pernah meminta mana-mana parti mengorbankan prinsip masing-masing. Namun, BN menghargai kematangan PAS yang memahami bahawa kepentingan rakyat, kestabilan politik dan masa depan Johor perlu mengatasi sentimen kepartian.

Pendirian PAS juga membuktikan bahawa segala propaganda yang cuba menyamakan BN dengan PH selama ini tidak benar.

Sekiranya BN dan PH benar-benar sama, sudah tentu PAS tidak akan meminta penyokongnya menolak PH dalam pertembungan dua penjuru melibatkan BN.

Kini rakyat Johor boleh melihat perbezaannya.

PAS berani membuat pilihan.
Bersatu masih berdolak-dalik.
BN pula sejak awal konsisten menawarkan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman dan mempunyai hala tuju yang jelas untuk Johor.

Akhirnya, rakyat Johor perlu memilih antara gabungan yang masih bercanggah sesama sendiri atau BN yang telah terbukti mampu mentadbir dan membawa pembangunan kepada negeri.

Johor tidak memerlukan politik yang mengelirukan.

Johor memerlukan kestabilan, kejelasan dan kepimpinan yang boleh dipercayai.

DATO’ DR. MOHD ZAIDI BIN MD ZAIN
Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO