PH Terdesak, Fitnah Dijadikan Senjata Politik Menjelang PRN Johor – Norshida

JOHOR BAHRU, 30 Jun – Naib Ketua Wanita UMNO Negeri Johor, Datuk Norshida Ibrahim menyifatkan tindakan Pakatan Harapan (PH) memainkan naratif kononnya pelbagai janji kerajaan negeri gagal ditunaikan sebagai satu usaha terdesak untuk mengelirukan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, taktik menyebarkan poster dan dakwaan yang memutarbelitkan fakta bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah membuktikan PH ketandusan isu serta gagal menawarkan agenda yang lebih baik untuk rakyat Johor.

“Daripada 11 perkara yang dipersoalkan, 10 telah direkodkan sebagai selesai manakala satu lagi sedang dalam pelaksanaan. Ini bukan dakwaan politik tetapi berdasarkan rekod rasmi dan pelaksanaan sebenar di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan antara dakwaan yang disebarkan PH ialah kononnya tiada kenaikan elaun imam, bilal, noja dan siak, sedangkan elaun golongan berkenaan telah dinaikkan sebanyak 100 peratus serta menerima bantuan tambahan melalui Bantuan Kasih Johor (BKJ).

Selain itu, beliau berkata dakwaan bantuan perkahwinan untuk golongan muda hanya RM400 juga tidak benar kerana kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan RM1,000 yang memanfaatkan lebih 77,000 pasangan, manakala bantuan pendaftaran institusi pengajian tinggi (IPT) sebanyak RM500 turut diberikan kepada puluhan ribu mahasiswa daripada keluarga B40.

Norshida turut menegaskan program BRJohorNiaga serta pembiayaan Bank Rakyat masih diteruskan dengan lebih RM65 juta pembiayaan diluluskan, selain bantuan pakaian sekolah yang telah memanfaatkan lebih 273,000 pelajar daripada keluarga B40 dan asnaf, bukannya terhad kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) seperti didakwa.

Tambah beliau, projek-projek strategik seperti Hab Perabot Negara di Muar dan Batu Pahat Barter Trade Port juga sedang dilaksanakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan.

“Rakyat Johor bukan lagi mudah diperdaya dengan politik persepsi. Mereka mahu melihat hasil kerja, bukan sekadar poster dan propaganda. Johor hari ini bergerak dengan agenda pembangunan yang jelas, bantuan yang sampai kepada rakyat serta perancangan ekonomi jangka panjang yang sedang dilaksanakan.

“Dalam politik, kita boleh berbeza pendapat. Namun menyebarkan maklumat yang tidak tepat semata-mata untuk meraih undi adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab. Semak fakta, bukan termakan fitnah. Johor memerlukan kestabilan dan kesinambungan, bukannya politik fitnah serta kebencian,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO