Buli Bukan Gurauan, Tindakan Tegas Perlu Diambil – Pemuda UMNO Tenom

TENOM, 30 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tenom menggesa tindakan tegas diambil terhadap insiden buli yang tular membabitkan sebuah asrama sekolah rendah di daerah ini, sambil menegaskan bahawa kes sedemikian tidak boleh dipandang ringan atau disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Ketua Penerangannya, Mohd Aruan Siden berkata, kejadian buli bukan sahaja mencederakan fizikal mangsa, malah meninggalkan kesan emosi dan psikologi yang boleh berpanjangan sehingga dewasa.

Menurut beliau, sekolah dan asrama sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak menimba ilmu, membina sahsiah dan membentuk masa depan, bukannya lokasi yang menimbulkan ketakutan serta trauma.

“Buli bukan budaya dan bukan gurauan. Ia adalah satu bentuk keganasan yang tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan. Kes buli tidak boleh disapu di bawah karpet atau dianggap sebagai perkara biasa. Setiap anak adalah amanah yang wajib dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus, adil dan menyeluruh bagi memastikan semua pihak yang terlibat dipertanggungjawabkan mengikut peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa, di samping memberi keutamaan kepada kebajikan, keselamatan dan pemulihan emosi mangsa.

Mohd Aruan berkata, penguatkuasaan Akta Antibuli 2026 perlu dilaksanakan secara tegas sebagai langkah memperkukuh usaha membanteras gejala buli di negara ini.

Tambah beliau, usaha membendung budaya buli memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah, guru, warden, masyarakat dan pelajar sendiri melalui pendekatan pencegahan serta penerapan nilai hormat-menghormati sejak di peringkat awal.

“Jangan tunggu sehingga berlaku tragedi baharu untuk bertindak. Pencegahan yang berkesan adalah kunci bagi memastikan setiap institusi pendidikan kekal menjadi tempat yang selamat dan kondusif untuk semua pelajar,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO