Bukan BN Yang Goyang, PH-Dap Bakal Digegarkan Gelombang Biru Johor – Md Israk
JOHOR BAHRU, 30 Jun – Barisan Nasional (BN) Johor menegaskan dakwaan kononnya parti itu semakin lemah dan hanya mampu memenangi kurang daripada 40 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hanyalah naratif politik yang tidak berasaskan realiti di lapangan.
Ketua Penerangan BN Negeri Johor, Md Israk Abdullah, berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Strategik Dap itu lebih bersifat cubaan membentuk persepsi berbanding menggambarkan keadaan sebenar sokongan rakyat.

Menurut beliau, ketika BN giat turun padang bertemu rakyat, mendengar denyut nadi mereka serta menawarkan agenda pembangunan untuk masa depan Johor, pihak lawan terus memainkan sentimen politik dan mencipta pelbagai persepsi.
“Tuduhan kononnya BN semakin lemah hanyalah naratif politik yang tidak berasaskan fakta. Ia langsung tidak mencerminkan realiti sebenar yang sedang berlaku di akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan.
Md Israk berkata, momentum sokongan rakyat terhadap BN kini semakin jelas apabila Gelombang Biru mula dirasai di seluruh Johor, sekali gus menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang stabil, berpengalaman dan mempunyai rekod pencapaian.
Beliau berkata sepanjang tempoh kempen, sambutan yang diterima daripada rakyat semakin memberangsangkan kerana mereka menilai berdasarkan prestasi dan hasil kerja, bukannya propaganda atau persepsi yang dimainkan di media sosial.
“Dap bebas untuk terus mencipta persepsi atau mengeluarkan pelbagai ramalan politik. Namun rakyat Johor cukup matang untuk membezakan antara mereka yang hanya pandai mencipta naratif dengan mereka yang benar-benar bekerja dan memberikan yang terbaik untuk negeri ini,” ujarnya.

Beliau turut yakin rakyat Johor akan membuat pilihan yang tepat pada hari pengundian dengan terus memberikan mandat kepada BN bagi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan.
“Isyarat paling jelas akan diberikan oleh rakyat Johor pada hari pengundian nanti apabila Gelombang Biru memastikan Johor terus dipimpin oleh sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan diyakini rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, semangat ‘Maju Johor: Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan’ akan terus menjadi asas perjuangan BN dalam membawa kemajuan yang berterusan demi kesejahteraan rakyat negeri ini. – UMNO Online
