BN Mentadbir … Tiada Lagi Projek Sakit Di Parit Yaani

PARIT YAANI, 30 Jun – Kejayaan menyelesaikan projek-projek terbengkalai serta pelaksanaan pelbagai pembangunan infrastruktur dan pendidikan di Parit Yaani menjadi bukti keupayaan pentadbiran Barisan Nasional (BN) dalam memenuhi keperluan rakyat sepanjang tempoh empat tahun lalu.

Calon BN DUN Parit Yaani, Datuk Najib Samuri berkata, antara pencapaian paling membanggakan ialah tiada lagi projek sakit di kawasan Parit Yaani hasil komitmen kerajaan negeri dalam memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut perancangan.

Menurut beliau, selain menyelesaikan projek terbengkalai, pelbagai projek baharu turut berjaya direalisasikan termasuk pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Suria Jaya yang dijangka mula beroperasi pada September ini.

“Alhamdulillah, sepanjang penggal ini pelbagai projek pembangunan telah berjaya dilaksanakan. Tiada lagi projek sakit di Parit Yaani, selain pembinaan SMK Bandar Suria Jaya yang akan mula beroperasi tidak lama lagi,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau akan berdepan satu lawan satu dengan calon daripada PH pada PRN Johor 11 Julai nanti.

Najib seterusnya berkata, projek Jalan Tan Sri Mohamad juga telah siap dan kini boleh digunakan oleh penduduk, manakala projek tebatan banjir di Taman Jaya sedang giat dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir yang sering membelenggu kawasan berkenaan.

Pada masa sama, kerajaan negeri turut meluluskan pembinaan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Indah bagi memenuhi keperluan pendidikan penduduk yang semakin bertambah.

Najib berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam memastikan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, pelbagai inisiatif kebajikan seperti Bantuan Kasih Johor, Jualan Kasih Johor serta bantuan kepada mahasiswa anak Johor turut melengkapi agenda pembangunan negeri dan memberi manfaat kepada rakyat di seluruh 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, rekod pencapaian tersebut menjadi asas keyakinan BN untuk terus mempertahankan kerusi Parit Yaani pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan demi manfaat penduduk setempat.

“Sebenarnya kami bukan berkempen hanya dalam tempoh 14 hari ini. Wakil rakyat BN telah bekerja dan berkhidmat sepanjang empat tahun lalu. Insya-Allah, jika diberi mandat sekali lagi, segala usaha pembangunan dan kebajikan ini akan terus diperkasakan,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO