Bangsa Johor Teruslah Letak Sokong BN, Manifesto Adalah Aku Janji – Manndzri

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Bangsa Johor diseru untuk terus meletakkan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana parti tersebut mempunyai rekod yang jelas dalam menunaikan setiap manifesto yang dijanjikan kepada rakyat.

Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, menjadi tradisi BN untuk menjadikan manifesto sebagai aku janji yang perlu dilaksanakan, bukannya sekadar janji politik bagi meraih sokongan ketika pilihan raya.

“Bangsa Johor boleh meletakkan kepercayaan kepada BN. Saya yakin dan percaya kerana menjadi tradisi kepada BN bahawa setiap manifesto adalah aku janji. Apa yang kita bentangkan dalam manifesto bukan sekadar janji, tetapi komitmen yang akan diusahakan untuk ditunaikan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Podcast #HitamPutihKelabu terbitan Penerangan UMNO Malaysia yang membincangkan tajuk Manifestasi Kematangan Demokrasi Politik, semalam.

Menurut Manndzri, rekod pentadbiran BN selama ini membuktikan parti itu sentiasa berusaha merealisasikan setiap komitmen yang diberikan kepada rakyat, sekali gus menjadi asas kepada keyakinan bahawa agenda pembangunan Johor akan terus diperkasakan sekiranya rakyat sekali lagi memberikan mandat kepada BN.

Sehubungan itu, beliau menyeru khususnya pengundi muda agar memberikan peluang kepada kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk meneruskan pelbagai agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan menerusi Tekad Johor – Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan Kemajuan Diteruskan.

Katanya, masih banyak perancangan yang perlu diteruskan bagi memastikan Johor kekal sebagai negeri yang berdaya saing, termasuk usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk anak muda.

“Tidak mustahil sasaran ini dapat dicapai kerana kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN telah meletakkan asas yang kukuh melalui pelaksanaan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), Johor Economic Transformation Plan (JETP) serta pelbagai inisiatif strategik lain yang mampu menarik lebih banyak pelaburan dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya menghantar mesej yang jelas pada PRN Johor dengan memilih parti yang mempunyai rekod perkhidmatan dan pencapaian, bukannya bergantung kepada retorik semata-mata.

“Tidak salah untuk Bangsa Johor memberikan sekali lagi peluang kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi yang telah membuktikan kepimpinan BN sepanjang penggal lalu. Pilihlah parti yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat dan telah membuktikan bahawa setiap manifesto yang dibentangkan adalah amanah yang akan dilaksanakan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO