Amanah Baharu Buat Adnan Abu Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan hari ini menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Surat cara pelantikan tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri di Bangunan Parlimen dengan turut disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman serta ahli-ahli jawatankuasa lain yang turut menerima pelantikan.

Adnan berkata amanah yang diberikan itu merupakan satu tanggungjawab besar yang akan digalas dengan penuh integriti, keikhlasan dan komitmen demi memastikan fungsi semak dan imbang berkaitan usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan sebaiknya.
“Hari ini di Bangunan Parlimen saya menerima Surat Cara Pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri. Menjunjung kasih Tuanku. Moga Allah membimbing, kerana Dialah sebenar-benar Pembimbing,” katanya.
Beliau juga turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan pelantikan tersebut serta berdoa agar diberi kekuatan dan petunjuk dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan demi kepentingan rakyat dan negara. – UMNO Online
