Tiada Toleransi Terhadap Sebarang Bentuk Eksploitasi Seksual Kanak-kanak
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2026 akan memperluaskan bidang kuasa akta bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap kes yang sebelum ini tidak dilindungi oleh peruntukan sedia ada.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata pindaan ini menghantar mesej yang jelas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.
“If you touch our children, you go… tiada toleransi dan tiada kompromi terhadap mereka yang merosakkan masa depan anak-anak kita.
“Kerajaan juga akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa serta penyelarasan domestik melalui pendekatan whole-of-government approach melibatkan agensi penguatkuasaan, pendakwaan, perlindungan kanak-kanak, keselamatan siber dan komunikasi bagi memastikan akta ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Anak-anak tidak memilih untuk menjadi mangsa. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan mereka sentiasa dilindungi melalui undang-undang yang tegas, moden dan berkesan,” katanya.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata demikian ketika bacaan kali kedua RUU Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2026 Bacaan Kali Kedua di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau, keperluan pindaan ini juga disokong oleh fakta yang membimbangkan.
Antaranya menurut beliau laporan oleh Disrupting Harm Malaysia yang diterbitkan oleh UNICEF, INTERPOL dan ECPAT International menganggarkan lebih 100,000 kanak-kanak pengguna internet berumur antara 12 hingga 17 tahun di Malaysia pernah mengalami eksploitasi atau penderaan seksual dalam talian dalam tempoh setahun sebelum kajian tersebut dijalankan.
Menurut Azalina ancaman ini turut dicerminkan melalui peningkatan ketara bahan penganiayaan seksual kanak-kanak atau Child Sexual Abuse Material (CSAM).
“Menurut data Internet Watch Foundation yang dilaporkan pada tahun 2025, sebanyak 16,238 laporan CSAM yang melibatkan kanak-kanak Malaysia direkodkan pada tahun 2024, meningkat lebih 225 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2025 sahaja, sebanyak 12,656 laporan telah direkodkan. Angka-angka ini menunjukkan bahawa ancaman terhadap kanak-kanak bukan lagi terbatas kepada ruang fizikal, malah semakin berkembang dalam persekitaran digital serta merentas sempadan.
“Maklumat yang ditekankan oleh Polis Diraja Malaysia menunjukkan bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian kini semakin kompleks. Pelaku menggunakan platform tertutup, teknologi penyulitan atau dengan izin encryption, identiti palsu serta beroperasi merentasi pelbagai negara, sekali gus menyukarkan pengesanan, penyiasatan dan pengumpulan bukti oleh pihak berkuasa.
“Keadaan ini menunjukkan bahawa kerangka undang-undang sedia ada perlu diperkukuh agar mampu menangani realiti jenayah seksual masa kini,” ujar beliau. – UMNO Online
