Semakan Skala Bayaran Jurutera Disesuaikan Dengan Realiti Ekonomi Semasa

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan memaklumkan kementerian menerusi Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) sedang melaksanakan tindakan proaktif bagi menyemak semula dan meminda Skala Bayaran Jurutera.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata langkah semakan secara komprehensif ini penting memandangkan struktur kadar yuran sedia ada telah lama diguna pakai sejak kali terakhir ia diwartakan pada 7 Disember 1998 iaitu kira-kira 28 tahun yang lalu.

“Semakan semula ini bertujuan untuk menyesuaikan kadar yuran dengan realiti ekonomi semasa, kos operasi firma kejuruteraan yang kian meningkat, serta menyetarakan imbuhan profesional ini dengan bidang profesional binaan yang lain di negara ini.

“Secara prinsip, pindaan ini menukarkan struktur kadar maksimum lama di bawah peraturan sedia ada menjadi penanda aras kadar minimum baharu,” katanya.

Ahmad Maslan berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Yusof Abdul Wahab (GPS-Tanjong Manis) berkenaan status semakan semula yuran perunding untuk jurutera serta kadar yuran yang baharu akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat dan wajib dipatuhi oleh semua agensi pelaksana untuk projek-projek Kerajaan.

Menjawab kepada persoalan tersebut beliau berkata berdasarkan simulasi teknikal yang telah dijalankan, perubahan ini dianggarkan bakal menyelaras kenaikan yuran perunding sekitar 9.23 peratus bagi sesuatu projek pembangunan fizikal yang melibatkan unjuran kos kerja bernilai RM200 juta.

Katanya setakat ini, draf akhir pindaan peraturan yuran tersebut telah pun dikemukakan untuk semakan undang-undang dan penelitian oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ia boleh diwartakan secara rasmi di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967.

Sementara itu menjawab persoalan mengenai aspek pematuhan, Ahmad Maslan menegaskan bahawa sebaik sahaja skala bayaran baharu ini diwartakan kelak, ia wajib dipatuhi oleh semua Jurutera Profesional dan Firma Perunding Kejuruteraan (Engineering Consultancy Practices – ECP) yang beroperasi dalam sektor awam mahupun sektor swasta di Malaysia.

“Pematuhan mandatori ini penting bagi memelihara integriti profesion kejuruteraan, menyekat amalan persaingan harga yang tidak sihat (price cutting) serta memastikan kualiti reka bentuk dan tahap keselamatan infrastruktur yang diserahkan kepada rakyat tidak dikompromi.

“Bagi pelaksanaan merentasi projek-projek milik Kerajaan Persekutuan, KKR komited memastikan tiada sebarang kekeliruan atau ketidakseragaman dalam kalangan agensi pelaksana di bawah pelbagai kementerian.

“Sehubungan itu, LJM telah mengemukakan cadangan rasmi pada 10 Mac 2026 kepada Kementerian Kewangan supaya skala yuran minimum yang baharu ini diselaraskan dan dikuatkuasakansecara berpusat di bawah Pekeliling Perbendaharaan Malaysia iaitu PK 3.2: Kos Perkhidmatan Perunding dan Imbuhan Balik,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO