PRN Johor: Semangat Jentera Luar Biasa, Hasni Yakin BN Capai Kemenangan
SIMPANG RENGGAM, 29 Jun – Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Seri Ir Hasni Mohammad yakin Barisan Nasional (BN) mampu mencapai kemenangan khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dan juga Layang-Layang yang berada di kawasan parlimennya.
Kata bekas Menteri Besar Johor itu, ini berdasarkan komitmen dan semangat yang luar biasa jentera BN bagi mempertahankan kemenangan parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

“Melihat kepada semangat yang ditunjukkan oleh jentera Barisan Nasional untuk menghadapi PRN ini adalah luar biasa.
“Kita dapat melihat sokongan daripada parti-parti komponen hadir dan tidak ada satu pun berkecuali dan ini adalah satu petanda awal yang menunjukkan bahawa dalam tempoh dua minggu akan datang ini, saya percaya kita akan dapat menyusun gerak kerja, program-program kempen dengan berkesan.
“Ini adalah kekuatan Barisan Nasional yang harus kita kukuhkan. Kita adalah parti akar umbi. Peranan jentera bukan hanya peringkat bahagian tetapi juga di peringkat cawangan-cawangan sampai ke PDM (pusat daerah mengundi) dan lokaliti. Itu adalah satu petanda yang baik,” katanya kepada UMNO Online.
Berhubung dengan calon BN bagi DUN Machap iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga merupakan Menteri Besar Johor, beliau berkata sememangnya rakyat di kawasan malah di negeri itu mengikuti secara rapat segala usaha yang telah dilakukan oleh Onn Hafiz dan perancangan-perancangan yang bakal dilaksanakan.
Justeru beliau berpandangan tidak perlu pengundi memilih selain daripada Onn Hafiz yang telah banyak membawa agenda yang memberi faedah kepada rakyat, serta menolak pihak yang sering memutar-belit fakta.
“Saya percaya peranan pakatan, pendekatan mereka adalah hanya memutar-belitkan fakta mereka, berkempen menggunakan pendekatan tidak dapat memberi apa kebaikan.
“Apa yang pakatan boleh tawarkan di Machap? Tiada… bandingkan apa yang selama ini telah disusun dan dirancang (BN) di Machap ini,” katanya lagi yang menyeru pengundi agar jangan menggadai masa depan mereka.
Selain itu, Hasni juga bersedia memberi komitmen akan membantu lain-lain kawasan yang berhampiran demi memastikan kemenangan BN. – UMNO ONLINE
