PRN Johor: Selepas Geran Peneroka, Generasi Kedua Jadi Fokus – Norlizah
JOHOR LAMA, 29 Jun – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Norlizah Noh menegaskan komitmennya untuk meneruskan agenda pembangunan serta memperjuangkan kebajikan masyarakat, khususnya warga Felda dan generasi peneroka kedua sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, pelbagai kejayaan telah dicapai hasil usaha kerajaan negeri dan kerjasama semua pihak, termasuk penyelesaian isu geran peneroka asal di Gugusan Felda Lok Heng.
“Banyak perkara yang telah kita selesaikan, contohnya geran peneroka asal. Alhamdulillah… di Gugusan Felda Lok Heng, 100 peratus geran peneroka telah selesai.
“Jadi selepas ini, apa yang mahu diperjuangkan ialah nasib generasi kedua peneroka pula, insya-Allah, khususnya bagi memastikan mereka turut menikmati peluang dan manfaat pembangunan di kawasan Felda.
“Hari ini kerajaan negeri telah banyak membantu rakyat dan saya melihat kerajaan negeri berada di landasan yang terbaik untuk meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan masyarakat,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah Norlizah, berkeyakinan kepada tahap kematangan rakyat dalam menilai rekod pencapaian, komitmen serta keupayaan setiap calon untuk membawa pembangunan dan membela kepentingan masyarakat.
“Saya yakin dan percaya pengundi-pengundi kita bijak menilai siapa yang layak dipilih dan kepada siapa mandat akan diberikan pada 11 Julai 2026 nanti, insya-Allah,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru seluruh pengundi supaya menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian dan memberikan mandat kepada BN bagi memastikan agenda pembangunan, kestabilan politik serta kebajikan.
Dalam masa sama Norlizah menegaskan program menyantuni masyarakat melalui ziarah dari rumah ke rumah bukanlah sesuatu yang baharu dilakukan.
“Kami telah menziarahi penduduk di Felda Lo Heng Barat, Lo Heng Selatan dan Lo Heng Timur. Inilah rutin saya sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat sebelum ini.
“Sememangnya kami sentiasa melaksanakan program ziarah kasih, bukannya baharu hendak melaksanakannya ketika musim pilihan raya,” ujarnya.
Beliau berkata, pendekatan turun padang secara konsisten membolehkannya memahami sendiri keperluan serta permasalahan yang dihadapi penduduk, sekali gus memudahkan usaha mencari penyelesaian terbaik demi kebajikan masyarakat. – UMNO Online
