Khairul Azwan Turun Padang, Tinjau Permohonan Prasarana Rakyat

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun telah turun padang untuk meninjau permohonan prasarana yang dibuat oleh penduduk Taman Gen2 Changkat Lada.

Ujarnya, lawatan tersebut adalah untuk melihat sendiri keadaan di lokasi selain mendapat gambaran jelas mengenai keperluan penduduk.

“Pada Ahad, saya telah mengadakan lawatan ke Fasa 1, Fasa 3, Fasa 9 dan Taman Gen2 Changkat Lada bagi meninjau permohonan penduduk berkaitan pembinaan longkang, penurapan jalan, pemasangan lampu jalan dan pembersihan parit yang tersekat.

“Lawatan ini bertujuan melihat sendiri keadaan di lokasi dan mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai keperluan penduduk. Isu saliran dan keadaan jalan yang baik amat penting bagi memastikan keselamatan, keselesaan serta kesejahteraan masyarakat setempat.

“Insya-Allah, segala permohonan dan keperluan yang dibangkitkan akan saya panjangkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan serta perhatian sewajarnya. Semoga usaha ini dapat memberi manfaat kepada penduduk dan membantu meningkatkan kualiti infrastruktur di kawasan tersebut,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, beliau juga berkesempatan menghadiri Majlis Perasmian Penutup One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak pada sebelah pagi.

“Pada sebelah pagi, saya berkesempatan menghadiri Majlis Perasmian Penutup OSC Sejahtera Sosial Negeri Perak yang telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak, Datuk Salbiah Mohamed di Dataran Kampung Parit 9, Labu Kubong.

“Program ini merupakan satu inisiatif yang amat baik kerana menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik di bawah satu bumbung bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta pelbagai perkhidmatan berkaitan kebajikan dan kesejahteraan sosial,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar usaha tersebut menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, prihatin dan berkesan.

“Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan penganjuran program ini. Semoga usaha sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang agar lebih ramai masyarakat mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan.

“Insya-Allah, semoga segala usaha ini menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, prihatin dan berkesan demi kesejahteraan rakyat Negeri Perak,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO