Ahmad Zahid Seru UMNO Perkukuh Parti, Dekati Semua Lapisan Rakyat

JEMPOL, 29 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO perlu menawarkan calon terbaik kepada rakyat Negeri Sembilan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang, selain memperkukuhkan parti di semua peringkat.

Beliau berkata, matlamat utama UMNO bukan sekadar memenangi pilihan raya, sebaliknya memastikan calon yang diketengahkan benar-benar mampu berkhidmat dan membawa manfaat kepada rakyat.

“Kita mahukan calon yang terbaik untuk rakyat. Jangan hanya memenangi hati dan menyantuni ahli-ahli UMNO sahaja.

“Kalau mahu menang pilihan raya, santunilah semua kaum. Kita perlu mendekati seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang,” katanya ketika berucap pada Perjumpaan Khas Presiden UMNO bersama kepimpinan UMNO Negeri Sembilan di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan seluruh kepimpinan dan jentera parti agar terus memperkukuhkan UMNO dengan mengutamakan perpaduan, kesepaduan serta semangat bekerja sebagai satu pasukan demi memastikan parti terus diyakini rakyat.

Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta kepimpianan empat peringkat Negeri Sembilan.

Ahmad Zahid juga berharap seluruh kepimpinan dan akar umbi terus memperkukuh organisasi parti serta memperluaskan sokongan rakyat melalui pendekatan yang inklusif dan berterusan, sebagai asas menghadapi cabaran politik pada masa akan datang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO