PRN Johor: BN Anggap Diri ‘Underdog’, Tumpu Kempen Dekati Dan Santuni Pengundi- Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 28 Jun – Barisan Nasional (BN) menganggap parti itu sebagai ‘underdog’ dalam persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dan tidak akan memandang remeh kempennya meskipun proses pencalonan bagi semua 56 kerusi negeri berjalan lancar dengan kehadiran penyokong yang ramai.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga calon BN bagi kerusi DUN Machap berkata mereka akan terus berusaha keras dan mendekati seberapa ramai pengundi yang mungkin menjelang hari pengundian pada 11 Julai.

“Oleh kerana kami bukan Kerajaan Persekutuan, kami menganggap diri kami sebagai ‘underdog’. Kami akan berusaha keras untuk bertemu dengan seberapa ramai ‘Bangsa Johor’ yang boleh,” katanya kepada media ketika ditemui pada sesi beramah mesra bersama penduduk Flat Saujana, di sini, hari ini.

Onn Hafiz berkata momentum sokongan kepada calon BN menunjukkan tanda positif dan berharap ia akan berterusan yang seterusnya diterjemahkan kepada kemenangan parti itu.

Dalam masa sama beliau berharap agar perjalanan PRN Johor kali ini berlangsung dalam suasana baik dan tenteram.

“Kerana saya rasa itulah cara Johor. Kita teruskan untuk menjaga keharmonian supaya demokrasi yang kita nak suburkan dan terus suburkan di Johor dapat kita laksanakan dengan baik,” katanya.

Sementara itu Onn Hafiz berkata Manifesto Tekad BN Johor yang dilancarkan pada 26 Jun lepas yang menggariskan 63 tekad adalah kesinambungan daripada segala inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri selama ini.

“Ada pelbagai inisiatif yang kita teruskan dari segi agenda perumahan, agenda Orang Muda Johor serta bantuan Kasih Johor.

“Dan kalau dulu kita buat program Semarak Subuh, Insya-Allah bila (BN) menang nanti kita nak buat Semarak Isyak pula. Jadi, itulah kesinambungan kepada apa yang telah kita laksanakan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal PRN Johor pada 7 Julai, manakala hari pengundian adalah pada 11 Julai. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO