Pertahan Momentum Kemenangan Demi Masa Depan Johor – Ahmad Zahid

SRI GADING, 28 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin gabungan itu mampu mencatat kemenangan lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berdasarkan rekod pentadbiran cemerlang kerajaan negeri.

Beliau berkata, proses penamaan calon yang berlangsung semalam bukan sekadar acara biasa, sebaliknya menjadi manifestasi kekuatan serta kesiapsiagaan UMNO dan BN dalam menghadapi pilihan raya.

“Penamaan calon semalam bukan satu pesta, tetapi manifestasi bahawa UMNO dan BN terus kukuh. Pada PRN lalu kita memperoleh 40 kerusi dan dengan pertolongan Allah SWT serta hasil pelbagai pembangunan yang telah dibawa kepada rakyat, saya yakin calon-calon BN akan memperoleh kemenangan yang lebih baik kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Sri Gading, di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; calon BN DUN Parit Yaani, Datuk Najib Samuri; calon BN DUN Parit Raja, Rashidah Ramli; barisan kepimpinan parti-parti komponen serta para pendokong dan penyokong BN.

Ahmad Zahid seterusnya berkata, landskap politik hari ini mungkin berubah, namun semangat perjuangan BN tetap sama iaitu berjuang sehingga mencapai kemenangan.

“Hari ini di Putrajaya kita berkawan, tetapi di Johor kita bertanding secara demokratik. Maka menjadi tanggungjawab kita memastikan semua calon BN diberikan kemenangan,” ujarnya.

Menurut beliau, rakyat juga mengetahui bahawa Johor merupakan negeri yang sinonim dengan kekuatan BN, justeru seluruh jentera perlu terus memperkukuh gerak kerja sehingga hari pengundian.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru agar kempen memberi fokus kepada isu-isu tempatan serta rekod pencapaian kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Saya amat yakin jika rakyat memberikan mandat yang lebih besar kepada BN, lebih banyak pembangunan dan kemakmuran untuk Johor,” katanya.

Beliau turut memuji pendekatan kepimpinan Menteri Besar yang mengamalkan pentadbiran inklusif tanpa membezakan latar belakang kaum dalam penyampaian bantuan.

“Onn Hafiz tidak melihat warna kulit atau kaum. Pengagihan bantuan dilaksanakan secara adil kerana itulah prinsip BN sebagai sebuah parti pelbagai kaum. Itulah keunikan dan kekuatan kita,” katanya.

Mengulas pencapaian ekonomi negeri, Ahmad Zahid berkata Johor kini muncul sebagai negeri yang menerima pelaburan asing tertinggi di negara ini hasil pentadbiran yang berwibawa serta dasar yang jelas.

“Pentadbiran yang tersusun, strategi yang jelas dan fokus yang nyata menyebabkan pelabur dalam dan luar negara terus memberi perhatian kepada Johor. Pencapaian kerajaan negeri hari ini amat luar biasa.

“Justeru, kesinambungan kejayaan ini perlu diteruskan dengan memberikan mandat kepada BN pada hari pengundian nanti,” tegas beliau.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO