Sumali Hargai Jasa Hasni… Komited Perkukuh Perpaduan, Khidmat Kepada Rakyat
PONTIAN, 27 Jun – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan menzahirkan penghargaan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Hasni Mohammad atas segala jasa dan sumbangan beliau, sambil bertekad meneruskan khidmat kepada rakyat dengan memperkukuhkan semangat perpaduan di kawasan itu.
Mohd Sumali berkata beliau bersyukur selepas selesai proses penamaan calon, sekali gus secara rasmi akan mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau menyifatkan pencalonan itu sebagai satu amanah besar memandangkan ia merupakan pengalaman pertamanya bertanding sebagai calon selepas sekian lama berada di belakang tabir membantu dan menyokong calon-calon parti.
“Syukur Alhamdulillah, proses penamaan calon telah selesai. Saya mendapat nombor satu dan ini adalah kali pertama saya menjadi calon. Selama ini saya mengikut calon dan menyokong calon, tetapi hari ini saya sendiri diberi amanah sebagai calon BN bagi DUN Benut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gelombang Biru DUN Benut yang disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, serta barisan kepimpinan, penyokong dan pendukung BN yang lain.
Menurut Sumali lagi, individu pertama yang dihubunginya selepas diumumkan sebagai calon ialah Datuk Hasni sebagai tanda menghormati pemimpin terdahulu yang telah banyak berjasa kepada Benut.
“Orang pertama yang saya hubungi ialah Datuk Hasni. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas jasa dan bakti beliau sepanjang menjadi ADUN Benut. Kita menghormati pemimpin terdahulu dan menghargai segala sumbangan beliau termasuk ketika menjadi Menteri Besar Johor,” katanya.
Mohd Sumali berkata, Benut yang didiami masyarakat berbilang kaum sentiasa menjadi contoh keharmonian dan perpaduan yang telah dipupuk sejak sekian lama.
“Di Benut terdapat pelbagai kaum, namun semangat perpaduan di sini sangat kuat sejak dahulu lagi. Inilah kekuatan yang perlu terus dipelihara demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera BN yang bertungkus-lumus sepanjang proses penamaan calon dan menyeru mereka supaya mengatur gerak kerja secara tersusun sepanjang tempoh berkempen.
“Kita jangan terlalu laju kerana tempoh kempen masih panjang. Susun strategi dengan baik, terus mendekati rakyat dan pastikan gerak kerja dilaksanakan secara konsisten sehingga hari pengundian,” katanya. – UMNO Online
