PRN Johor: Pilih Pemimpin Berkhidmat, Bukan Berpolitik Kebencian – Johari

TEBRAU, 27 Jun – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijalankan secara berhemah dengan memberi tumpuan kepada usaha meyakinkan rakyat melalui rekod perkhidmatan dan tawaran kepada masyarakat, bukannya menjadikan pentas kempen sebagai medan memburukkan pihak lawan.

Demikian tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani selepas mengiringi calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Datuk Abdul Halim Suleiman, proses penamaan calon hari ini.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, matlamat sebenar sesebuah pilihan raya adalah untuk memilih pemimpin yang mampu berkhidmat dan membawa manfaat kepada rakyat, bukannya berlumba-lumba melemparkan tuduhan atau mencetuskan politik kebencian.

“Apabila kita berkempen sepanjang tempoh 13 hari ini, kita mestilah berkempen secara berhemah. Dalam mana-mana pilihan raya, kita sebenarnya mahu meyakinkan rakyat supaya memilih pemimpin yang boleh berkhidmat kepada masyarakat.

“Bukan kita hendak mengata orang sana sini. Apa yang kita mahu jual ialah khidmat parti kita kepada masyarakat. Itu pesan saya kepada calon BN yang bertanding, khususnya di DUN Tiram,” katanya.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, persaingan empat penjuru di DUN Tiram seharusnya menjadi medan untuk setiap parti menawarkan idea serta penyelesaian terbaik kepada rakyat, bukannya menyerang peribadi lawan.
“Yang penting kita bertanding untuk memenangi hati rakyat, bukan hendak ‘kondem’ sana, ‘kondem’ sini. Inilah budaya politik baharu yang kita mahu bawa dalam negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji kelancaran proses penamaan calon di seluruh negeri yang berlangsung dalam suasana aman dan teratur tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Katanya, kematangan semua pihak dalam menghormati proses demokrasi membuktikan Malaysia terus mengekalkan kestabilan politik dan mampu menjadi contoh kepada negara luar.

“Proses ini memberi kebaikan kepada negara kita. Walau apa pun perbezaan politik yang wujud, ia tidak menggugat kestabilan negara. Akhirnya, biarlah rakyat membuat pilihan terhadap parti yang mereka yakini mampu membawa khidmat terbaik,” katanya lagi.

SPR menetapkan 11 Julai sebagai hari mengundi bagi PRN Johor, manakala 7 Julai untuk pengundian awal. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO