Aznan Tamin Sah Bertanding, Tanjung Surat Catat Pertandingan Dua Penjuru
PENGERANG, 27 Jun – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin, sah bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas proses penamaan calon di pusat penamaan hari ini berjalan lancar.
Aznan yang akan mempertahankan kerusi DUN Tanjung Surat diperuntukkan nombor dua pada kertas undi dalam pertandingan dua penjuru.

Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi DUN N39 Tanjung Surat, Norazmi Amir Hamzah, berkata pihaknya menerima kertas penamaan calon pada jam 10.25 pagi dan semua proses penerimaan berjalan mengikut peraturan serta tempoh yang ditetapkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa notis pilihan raya yang mengandungi maklumat pusat-pusat mengundi akan diwartakan dan dipamerkan di semua pusat mengundi yang telah ditetapkan bagi memudahkan urusan pengundi pada hari pengundian nanti.
Sementara itu bagi DUN Penawar, calon BN Fauziah Misri berada di kedudukan nombor satu pada kertas undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Ianya sekali gus melengkapkan senarai calon yang akan bertanding merebut mandat rakyat pada PRN Johor.
Untuk rekod, BN Johor secara rasmi mempertaruhkan 56 calon bagi bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.
Daripada jumlah itu, UMNO bertanding di 36 kerusi, MCA di 16 kerusi, manakala MIC di 4 kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 2,727,926 pemilih berdaftar yang layak mengundi bagi PRN Johor ke-16, berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan April 2026 yang diwartakan pada 21 Mei.
SPR menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, pengundian awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 10 Julai (Jumaat). – UMNO Online
