Rakyat Johor Mahukan Kerajaan Stabil, BN Pilihan Terbaik
MUAR, 26 Jun — Barisan Nasional (BN) Bahagian Muar akan memfokuskan gerak kerja penerangan dan kempen secara menyeluruh bagi mempertahankan kerusi DUN Sungai Balang serta merampas DUN Maharani pada pilihan raya ini.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Muar, Norisam Sahidan berkata, pelbagai strategi telah disusun di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) menerusi jawatankuasa penerangan yang telah bermesyuarat dan merangka pelan tindakan khusus mengikut keperluan kawasan.
Menurut beliau, BN memberi tumpuan lebih kepada DUN Maharani sebagai kerusi sasaran kemenangan tanpa mengabaikan usaha mempertahankan Sungai Balang.
“Kita telah menyusun jentera penerangan di setiap PDM termasuk menempatkan pegawai dan penceramah yang bersedia menyampaikan mesej parti kepada rakyat. Ketua penerangan di peringkat PDM juga telah merangka strategi yang bersesuaian dengan isu dan senario setempat kerana setiap kawasan mempunyai cabaran yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata, kempen berterusan selama 14 hari akan dilaksanakan apabila tempoh kempen rasmi bermula, dengan penggunaan pelbagai platform komunikasi termasuk media digital dan pendekatan tradisional bagi memastikan mesej BN sampai kepada semua lapisan masyarakat.
Menurut Norisam, media digital menjadi keutamaan kerana pihaknya menyedari serangan naratif politik yang berterusan daripada pihak lawan, namun BN akan tampil dengan naratif balas yang menekankan kestabilan kerajaan negeri Johor.
“Kita mahu membangkitkan keyakinan rakyat bahawa kerajaan negeri Johor merupakan kerajaan yang stabil dan perlu terus disokong demi kesinambungan pembangunan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun berdepan pelbagai cabaran dan kekangan politik, seluruh jentera parti termasuk sayap-sayap BN, kepimpinan bahagian dan akar umbi akan digerakkan secara maksimum bagi memperkukuh sokongan rakyat.
Norisam berkata, rakyat Johor khususnya semakin memahami situasi politik semasa dan melihat sendiri bagaimana kerajaan negeri yang diterajui BN berjaya mengekalkan kestabilan serta mendekati rakyat melalui pelbagai inisiatif dan program bantuan.
“Bangsa Johor memahami bahawa kerajaan negeri Johor adalah antara kerajaan yang paling stabil. Pendekatan yang dibawa adalah mengikut acuan Johor sendiri dan kita mahu mengekalkan kekuatan itu demi masa depan negeri,” katanya.
Beliau turut menyeru golongan muda dan pengundi atas pagar supaya menilai prestasi kerajaan negeri sepanjang tempoh pentadbirannya yang disifatkan berjaya melaksanakan pelbagai program kebajikan dan pembangunan untuk rakyat.
Katanya, mandat yang lebih besar kepada BN akan membolehkan kerajaan negeri melaksanakan lebih banyak agenda pembangunan dan manfaat kepada masyarakat pelbagai kaum.
“Kepada pengundi muda dan pengundi atas pagar, keluarlah mengundi dan berilah sokongan kepada Barisan Nasional demi memastikan Johor terus dipimpin oleh kerajaan yang stabil serta mampu mengembalikan manfaat kepada rakyat,” katanya. – UMNO Online
