PRN Johor: Politik Rakyat Jadi Teras Gerak Kerja BN Kulai – Mohd Jafni
KULAI, 26 Jun – Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menegaskan bahawa gerak kerja Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu berpaksikan politik rakyat, dengan mengutamakan penyelesaian isu, kebajikan dan pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata, kekuatan BN bukan terletak pada retorik politik semata-mata, sebaliknya dibina melalui rekod pentadbiran yang terbukti serta keupayaan membawa kemajuan, kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat.

“Pilihan raya bukan sekadar untuk memenangi kerusi, tetapi mendapatkan mandat rakyat bagi meneruskan agenda pembangunan negeri. Sebab itu setiap anggota jentera mesti turun padang, menyantuni rakyat, mendengar denyut nadi mereka dan menjelaskan segala usaha serta pencapaian yang telah dilaksanakan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi Perjumpaan Jentera Barisan Nasional Parlimen Kulai yang turut dihadiri Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Pasukan Jentera Negeri Angkat Pulau Pinang.
Menurut Mohd Jafni yang dicalonkan kembali bagi mempertahankan DUN Bukit Permai, selaras dengan kepimpinan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, setiap jentera perlu membawa mesej bahawa BN menawarkan kestabilan politik yang menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi, kemasukan pelaburan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan Bangsa Johor.
“Rakyat hari ini membuat penilaian berdasarkan hasil kerja dan keupayaan kita menyelesaikan masalah mereka. Justeru, kita mesti terus mendekati rakyat dengan penuh keikhlasan dan memastikan setiap dasar serta inisiatif kerajaan benar-benar difahami dan dirasai manfaatnya,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Pasukan Jentera Negeri Angkat Pulau Pinang yang hadir memberikan sokongan dan memperkukuhkan gerak kerja BN di Kulai.
Mohd Jafni turut menyeru seluruh jentera supaya memperkemaskan gerak kerja di setiap daerah mengundi dengan semangat berpasukan, disiplin yang tinggi dan iltizam yang kukuh bagi memastikan BN terus memperoleh mandat rakyat untuk meneruskan agenda Maju Johor.
“Apabila Johor kekal stabil, ekonomi akan terus berkembang, pelaburan akan terus meningkat dan manfaatnya akan dinikmati oleh seluruh rakyat. Inilah politik rakyat yang menjadi pegangan Barisan Nasional,” katanya lagi. – UMNO Online
