Anak Muda BERSATU Sertai UMNO Di DUN Benut 

PONTIAN, 26 Jun – Gelombang sokongan golongan muda terhadap UMNO terus menunjukkan perkembangan positif apabila sekumpulan bekas pimpinan dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pontian mengambil keputusan menyertai UMNO dalam satu majlis yang berlangsung di sini, malam ini.
Bekas Ketua Armada dan bekas Ketua Penerangan Bersatu Pontian, Mohamad Abdulajib Kamarudin menyifatkan keputusan tersebut sebagai langkah yang tepat demi memastikan kestabilan politik serta kelangsungan pembangunan di negeri Johor.
Menurut beliau, keputusan itu bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya telah melalui pertimbangan yang panjang susulan pelbagai kemelut yang melanda Bersatu sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan anak muda.
“Langkah yang kami ambil malam ini amat wajar. Kami memilih haluan yang betul agar kerajaan dapat ditadbir dengan sebaiknya dan inilah peluang terbaik untuk bersama-sama menyumbang kepada kestabilan politik.
“Ramai lagi dijangka akan menyusul selepas ini dan malam ini hanyalah permulaan kepada gelombang kemasukan yang seterusnya,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelbagai perkembangan mutakhir dalam Bersatu termasuk isu dalaman yang berlarutan menyebabkan ramai anak muda di Pontian hilang keyakinan terhadap hala tuju parti berkenaan.
“Kami melihat ketidakstabilan yang berlaku tidak memberikan manfaat kepada rakyat. Demi memastikan kerajaan Johor terus kukuh dan stabil, kami memilih untuk bersama UMNO dan Barisan Nasional,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Pontian yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor,  Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perjuangan UMNO kekal berteraskan agama, bangsa dan tanah air serta telah terbukti membawa pelbagai pembangunan dan kemajuan kepada negara.
“Perjuangan UMNO adalah perjuangan yang berteraskan agama, bangsa dan tanah air. Pembangunan serta infrastruktur yang dinikmati rakyat hari ini adalah hasil pemerintahan Barisan Nasional, dan itu adalah fakta yang tidak boleh dipadamkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa UMNO Bahagian Pontian khususnya di kawasan DUN Benut dan Pulai Sebatang berbesar hati menerima kemasukan bekas ahli Bersatu tersebut.
“Insya-Allah, selepas ini akan ada lagi gelombang kemasukan ahli baharu. Kita sentiasa membuka pintu kepada mereka yang ingin bersama memperkukuhkan perjuangan UMNO demi kestabilan politik dan masa depan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Mohd Sumali Reduan, mengalu-alukan penyertaan golongan muda tersebut.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada mereka kerana berani membuat keputusan yang disifatkan sebagai tepat demi memperkukuhkan perjuangan parti serta membantu Barisan Nasional terus berkhidmat kepada rakyat.
Kemasukan bekas pimpinan Bersatu bersama kumpulan anak muda itu dilihat sebagai manifestasi keyakinan terhadap perjuangan UMNO serta usaha memperkukuhkan parti dalam mendepani cabaran politik semasa, di samping menyatukan tenaga generasi muda demi kesinambungan pembangunan negeri dan negara.- UMNO Online
Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO