UMNO Sabah Perkukuh Kerjasama Dengan UMNO Johor Hadapi PRN

PASIR GUDANG, 23 Jun – UMNO Sabah yang diketuai Pengerusinya Datuk Jafry Arifin telah mengadakan lawatan kerja ke UMNO Bahagian Pasir Gudang dan perbincangan bersama Naib Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta kepimpinan bahagian tersebut, baru-baru ini.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat yang turut serta dalam pertemuan tersebut, tumpuan diberikan kepada penyelarasan gerak kerja dan persiapan jentera parti, khususnya melibatkan peranan UMNO Sabah dalam membantu UMNO Bahagian Pasir Gudang menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, kerjasama erat antara UMNO Sabah dan UMNO Johor mencerminkan semangat kebersamaan parti dalam memastikan kesiapsiagaan jentera di semua peringkat bagi menghadapi cabaran pilihan raya.

Turut bersama dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Hasnol Ayub; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Tun Said; Setiausaha UMNO Sabah, Samasudin Yusof; Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris; Exco Wanita UMNO Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Musliati Muslimin; Ahli Dewan Undangan Negeri Bengkoka merangkap Ketua UMNO Bahagian Kudat, Datuk Harun Durabi; serta Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Raimie Unggi.

Selain itu, beberapa pemimpin UMNO Sabah daripada pelbagai peringkat turut hadir bagi memperkukuhkan koordinasi dan kesepaduan gerak kerja parti menjelang pilihan raya.

Ujarnya, pertemuan tersebut penting dalam mempererat hubungan antara kepimpinan UMNO Sabah dan Johor, sekali gus memastikan gerak kerja parti dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan demi mencapai kemenangan pada pilihan raya akan datang.

SPR menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon PRN Johor, diikuti tempoh berkempen selama 14 hari sebelum pengundian awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO