Prestasi Kerajaan Negeri Jadi Sandaran BN Hadapi PRN Johor – Norshida
JOHOR BAHRU, 23 Jun – Prestasi cemerlang pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi dilihat menjadi antara faktor utama yang mengukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim berkata, pencapaian semasa kerajaan negeri membuktikan bahawa kepimpinan Menteri Besar Johor berjaya membawa kestabilan politik serta memacu pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Menurut beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, sejak menerajui pentadbiran negeri, Onn Hafiz telah menunjukkan komitmen tinggi dalam merealisasikan agenda pembangunan Johor menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk usaha menarik pelaburan bernilai tinggi, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta memperkukuhkan pelaksanaan Johor Economic Transformation Plan (JETP) sebagai pelan hala tuju masa depan negeri.
“Rakyat hari ini menilai berdasarkan hasil dan pencapaian yang dapat dilihat serta dirasai. Kerajaan negeri bukan sekadar bercakap mengenai perancangan, tetapi berjaya menterjemahkannya melalui pelaksanaan dasar yang memberi impak kepada ekonomi, pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, kestabilan politik yang dinikmati Johor ketika ini turut menjadi faktor penting dalam menarik keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa, sekali gus meletakkan negeri itu pada kedudukan yang lebih kukuh sebagai destinasi pelaburan utama negara.
Tambah beliau, dalam suasana politik semasa, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman dan mempunyai hala tuju yang jelas bagi memastikan segala agenda pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan.
“PRN Johor nanti bukan sekadar medan memilih wakil rakyat, tetapi menentukan kesinambungan pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan. Rekod prestasi yang baik perlu diterjemahkan kepada sokongan berterusan agar momentum kemajuan negeri tidak terhenti,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa segala usaha yang digerakkan oleh kepimpinan Menteri Besar Johor wajar diberikan sokongan demi memastikan Johor terus berkembang sebagai sebuah negeri maju, makmur dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa.
“Prestasi yang terbukti, kepimpinan yang diyakini dan visi pembangunan yang jelas merupakan kekuatan utama yang perlu dipertahankan demi masa depan Bangsa Johor,” katanya lagi. – UMNO Online
