Usaha Presiden UMNO Bantu Pekebun Kecil Berhasil, Harga Getah Cecah RM5.28 Sekilogram

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Komitmen kerajaan melalui Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam memperkukuhkan sektor pekebun kecil getah terus membuahkan hasil apabila harga getah ojol atau lantun mencatatkan paras tertinggi bagi tahun 2026 iaitu RM5.28 sekilogram di Kampung Kenangan, Gemeh, Tangkak, Johor.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata perkembangan tersebut merupakan satu berita yang amat dinantikan oleh komuniti pekebun kecil getah selepas melihat trend peningkatan harga yang berlaku secara berterusan sejak awal tahun ini.

Menurut beliau, usaha yang digerakkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, dalam memperjuangkan kebajikan pekebun kecil mula menunjukkan impak positif apabila harga getah terus meningkat dan memberi pulangan lebih baik kepada rakyat.

“Sebulan lalu, harga tertinggi getah ojol direkodkan pada kadar RM5.12 sekilogram di Perak, namun terbaru kita menerima berita yang lebih menggembirakan apabila harga tertinggi dicatatkan di Tangkak, Johor pada kadar RM5.28 sekilogram.

“Ini merupakan perkembangan yang sangat positif dan membuktikan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil sedang menampakkan hasil,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara turut menjelaskan bahawa sejak Januari 2026, harga getah telah menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila kebanyakan kawasan pengeluaran utama terutama di Pahang dan Kelantan merekodkan harga melebihi RM4.50 sekilogram untuk tempoh yang panjang.

Perkembangan itu, katanya, bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada pekebun kecil, malah meningkatkan keyakinan terhadap masa depan industri getah negara yang menjadi antara sumber pendapatan penting masyarakat luar bandar.

Ujarnya, kejayaan tersebut dilihat sebagai hasil keprihatinan kerajaan di bawah kepimpinan Presiden UMNO, yang sentiasa menekankan kepentingan memperkasa ekonomi desa dan memastikan golongan pekebun kecil terus terbela.

“Kenaikan harga getah yang konsisten sepanjang tahun ini dijangka mampu membantu meningkatkan pendapatan keluarga pekebun kecil, merancakkan aktiviti ekonomi luar bandar serta memperkukuhkan daya tahan industri getah negara.”

Manndzri juga berharap momentum positif tersebut dapat dikekalkan agar lebih ramai pekebun kecil menikmati hasil yang lebih baik dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan sektor komoditi negara secara mampan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO