Semangat Kebersamaan Dan Disiplin Kunci Kekuatan Jentera BN – Mohd Zaidy

JEMPOL, 22 Jun – Semangat kebersamaan, disiplin serta komitmen yang tinggi dalam kalangan jentera parti menjadi asas penting dalam memastikan kekuatan dan kesiapsiagaan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya yang bakal berlangsung.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata demikian selepas menghadiri sesi Taklimat Gerak Kerja Pilihan Raya bersama jentera BN Cawangan Felda Palong 1 baru-baru ini.

Menurut beliau, pertemuan tersebut bertujuan menyelaras gerak kerja di semua peringkat selain memperkukuhkan persefahaman dan kesatuan dalam kalangan ahli parti bagi menghadapi cabaran politik semasa.

“Pelbagai aspek penting telah dibincangkan termasuk kesiapsiagaan jentera, strategi mendekati pengundi serta kepentingan mengekalkan semangat kebersamaan dan disiplin dalam pasukan.

“Kekuatan sesebuah organisasi politik bukan sahaja terletak pada strategi yang dirancang, tetapi juga pada kesepaduan dan komitmen seluruh jentera yang bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh kepimpinan serta ahli-ahli BN di peringkat cawangan akan terus menjadi pemangkin kepada kejayaan parti dalam memperjuangkan kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zaidy turut meneruskan Program Ziarah Kasih DUN Jeram Padang di Felda Palong 1 sebagai usaha mendekati masyarakat dan menyantuni penduduk setempat.

Antara yang diziarahi ialah Md Nor Mahad, Mustafa Md Zain, Sialus Abu Amat, Abd Azis Abbas serta Mohd Ibrahim Madasah.

Beliau berkata program berkenaan merupakan platform penting untuk mendengar sendiri pandangan rakyat serta memahami keadaan semasa yang dihadapi oleh masyarakat di peringkat akar umbi.

“Program seperti ini bukan sahaja membolehkan kita menyampaikan bantuan dan perhatian kepada masyarakat, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat.

“Pendekatan turun padang dan menyantuni rakyat perlu diteruskan agar setiap isu dan keperluan masyarakat dapat diberikan perhatian sewajarnya,” ujarnya.

Beliau turut mendoakan agar semua yang diziarahi sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta dilimpahi rahmat dan keberkatan.

Mohd Zaidy turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan ahli-ahli BN Cawangan Felda Palong 1 yang sentiasa menunjukkan komitmen tinggi, semangat perjuangan yang utuh serta kesediaan untuk terus bergerak seiring demi memastikan agenda perjuangan parti dan kebajikan rakyat terus diperkasakan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO