PRN Johor: UMNO Sabah Santuni PDM Masai, Semangat Kebersamaan Terus Kukuh
JOHOR BAHRU, 22 Jun – Semangat kebersamaan, kesatuan dan komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh jentera parti di peringkat akar umbi terus menjadi asas kekuatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi cabaran politik serta memastikan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya.
Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub, berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Masai bersama rombongan Badan Perhubungan UMNO Sabah yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Jafry Ariffin, bagi meninjau gerak kerja dan persiapan jentera parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

Menurut beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, komitmen yang dipamerkan oleh jentera di semua peringkat membuktikan UMNO terus memiliki kekuatan tersendiri hasil daripada semangat kekeluargaan dan perpaduan yang kukuh dalam parti.
“Semangat kebersamaan, kesatuan dan komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh jentera di peringkat akar umbi merupakan pemangkin utama kepada kekuatan parti. Inilah aset paling berharga yang perlu terus dipelihara dan diperkasakan bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasional terus mendapat kepercayaan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, lawatan tersebut memberi ruang kepada kepimpinan UMNO Sabah untuk melihat sendiri kesiapsiagaan jentera serta bertukar pandangan mengenai strategi dan pendekatan yang boleh memperkukuhkan gerak kerja parti di lapangan.
Dalam masa sama, Mohd Hasnol turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera yang terus bekerja tanpa mengenal penat lelah demi memastikan parti sentiasa berada dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Katanya lagi, kekuatan sesebuah parti bukan hanya terletak pada kepimpinan, tetapi juga pada kesatuan hati dan kesungguhan ahli-ahli di akar umbi yang menjadi tulang belakang perjuangan UMNO sejak sekian lama.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai tarikh penamaan calon bagi PRN Johor dengan proses pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai, manakala hari mengundi ditetapkan pada 11 Julai. – UMNO Online
