Pemuda UMNO Sabah Diseru Fokus Agenda Parti, Utamakan Kepentingan Rakyat

LAHAD DATU, 22 Jun – Pemuda UMNO Sabah disaran memainkan peranan lebih besar dalam membawa pendekatan politik yang rasional, inklusif dan berpaksikan penyelesaian dengan meletakkan kepentingan Sabah mengatasi percaturan politik sempit.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, golongan muda khususnya kepimpinan Pemuda perlu menjadi tenaga penggerak kepada usaha membangunkan negeri melalui idea, pandangan dan tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Anil Sandhu, beliau menegaskan bahawa keutamaan harus diberikan kepada isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat seperti peluang pekerjaan, akses pendidikan yang lebih baik, pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur serta peningkatan taraf hidup rakyat.

Menurutnya, masa depan negeri tidak boleh dibina melalui pertelingkahan politik yang berpanjangan, sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak untuk mencari jalan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi rakyat.

Beliau turut menekankan bahawa BN Sabah akan terus memainkan peranan sebagai rakan dalam kerajaan negeri dengan memberikan kerjasama penuh kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam merealisasikan pelbagai agenda pembangunan yang dirancang untuk Sabah.

Katanya, kehadiran BN dalam kerajaan adalah berasaskan tanggungjawab untuk membantu mengekalkan kestabilan politik dan memastikan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dapat memberi manfaat kepada rakyat di semua peringkat.

“Dalam situasi politik semasa, BN memahami kedudukan parti dalam kerajaan negeri. Namun apa yang lebih penting ialah bagaimana kita dapat menyumbang secara positif demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, rakyat akhirnya akan menilai prestasi sesebuah parti berdasarkan keupayaannya membawa pembangunan dan menyelesaikan masalah, bukannya melalui retorik atau slogan semata-mata.

Sehubungan itu, beliau berharap Pemuda UMNO Sabah terus memperkukuh peranan sebagai wadah yang membawa suara generasi muda serta menjadi pemacu kepada agenda pembangunan yang mampu menjamin masa depan Sabah yang lebih cemerlang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO