Di Sebalik Polemik Calon MB Johor, Adakah Dr. Zaliha Menyimpan Cita-Cita Besar?
1. Kenyataan Dr. Zaliha Mustafa lebih menimbulkan persoalan daripada jawapan. Soalan yang dibangkitkan cukup mudah: siapakah calon Menteri Besar Pakatan Harapan jika mereka diberi mandat mentadbir Johor?
Rakyat berhak mengetahui siapa yang bakal memimpin negeri ini kerana soal kepimpinan adalah sebahagian daripada akauntabiliti kepada pengundi, bukannya polemik politik.
2. Lebih menghairankan, Dr. Zaliha mengakui status “poster boy” bukan jaminan menjadi Menteri Besar, namun dalam masa yang sama menolak keperluan menamakan calon.
Hakikat bahawa pelantikan Menteri Besar tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Johor dan perkenan DYMM Sultan Johor tidak pernah dipertikaikan. Namun, itu bukan alasan untuk merahsiakan siapa yang ingin ditawarkan kepada rakyat.
3. Jika benar Pakatan Harapan mempunyai ramai pemimpin yang layak dan berwibawa, mengapa begitu sukar menamakan seorang calon?
Rakyat bukan sahaja mahu menilai manifesto, tetapi juga individu yang akan melaksanakan dasar dan memimpin negeri.
Kegagalan menjawab persoalan ini hanya menguatkan persepsi bahawa mereka sendiri belum mencapai kata sepakat mengenai kepimpinan Johor.
4. Berbeza dengan pembangkang yang terus bermain persepsi, Kerajaan Johor hari ini dinilai berdasarkan prestasi dan pencapaian.
Pelaburan, peluang pekerjaan, pembangunan serta pelbagai inisiatif rakyat dapat dilihat dan diukur. Sebab itu kepastian mengenai kepimpinan penting kerana rakyat dan pelabur mahu tahu siapa yang bakal menerajui negeri ini pada masa hadapan.
5. Dalam konteks ini, sesiapa sahaja yang bakal diangkat sebagai calon Menteri Besar oleh Barisan Nasional Johor, perkara paling utama ialah rekod kerja, prestasi dan keupayaan mentadbir negeri.
Politik berasaskan hasil, penyelesaian masalah rakyat dan kesinambungan pembangunan perlu menjadi ukuran utama, bukan sekadar populariti atau persepsi politik.
BN Johor telah membuktikan rekod tersebut melalui kestabilan pentadbiran, pertumbuhan pelaburan, penciptaan peluang pekerjaan serta pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
6. Akhirnya, walau siapa pun calon yang diketengahkan, pelantikan Menteri Besar tetap tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Johor dan perkenan DYMM Sultan Johor.
Kepentingan negeri sentiasa mengatasi kepentingan parti.
7. Namun melihat kesungguhan Dr. Zaliha mempertahankan isu ini, timbul persoalan sama ada beliau sekadar bercakap bagi pihak Pakatan Harapan atau sebenarnya sedang memberi bayangan bahawa selaku Pengerusi KEADILAN Johor, beliau sendiri bercita-cita menjadi “poster boy” atau calon Menteri Besar wanita pertama PH di Johor.
Jika tidak, mengapa soalan yang begitu mudah masih gagal dijawab?
YB Senator Datuk Hj Abdul Halim Suleiman
Setiausaha UMNO Negeri Johor
