PRN: Jangan Jual Teori Konspirasi Sebagai Analisis Politik

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Muhammad Ferhad Azuar menempelak cubaan segelintir pihak yang mengaitkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan dakwaan konspirasi.

Menurut beliau dakwaan tersebut tidak berasas kerana Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini telah memaklumkan lebih awal bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan sebelum tamat tempoh penggal semasa pada April 2027.

“Menarik bagaimana sesetengah pihak boleh tukar kalendar biasa jadi bukti konspirasi, UMNO sambut ulang tahun ke-80 bulan Mei, DUN bubar sebulan kemudian, terus dikaitkan seolah-olah ada agenda rahsia.

“Ikut logik yang sama, setiap kali hujan lepas orang basuh kereta pun boleh dipanggil ‘konspirasi langit’. Sebab tak terlalu sukar nampak hubung kaitnya kan?

“Realitinya mudah Datuk Onn Hafiz sudah lama umum PRN bakal diadakan sebelum tamat penggal April 2027. Pembubaran DUN menjelang penghujung tempoh itu bukan twist filem thriller. Itu cuma kalendar pentadbiran biasa,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu Ferhad turut membidas cubaan mengaitkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 sebagai bukti kononnya rakyat telah menolak kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara menyeluruh.

Namun katanya, hujah tersebut tidak menggambarkan keseluruhan realiti politik kerana keputusan PRN Johor pada 2022 menunjukkan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) masih kukuh.

“Lagi satu yang menarik guna PRU 2018 sebagai bukti rakyat dah tolak Najib, tapi senyap je pasal PRN Johor 2022 di mana BN menang besar 40 daripada 56 kerusi, dengan Najib sendiri jadi penarik kempen. Kalau betul rakyat tolak terus macam yang didakwa, kira-kira macam mana pula boleh menang dua pertiga selepas itu?

“Dan paling comel, seruan supaya anak muda diajar sejarah secara adil, bukan sekadar pencapaian… setuju seratus peratus. Tapi kalau nak adil, kenapa kenyataan sendiri tak sebut langsung pencapaian era berkenaan? Atau adil tu cuma sehala bila ia datang dari pihak sendiri?

“Pengajaran sebenar di sini bukan tentang Najib. Ia tentang betapa mudahnya naratif ketakutan dijual sebagai kesedaran sejarah, sedangkan ia cuma skrip lama yang dah gagal pada 2022, cuba dimainkan sekali lagi pada 2026,” ujar beliau.

Terdahulu, pemimpin Dap Johor, Sheikh Omar Ali menerusi satu hantaran di Facebook dilihat memetik ucapan Onn Hafiz ketika sambutan ulang tahun yang memaklumkan UMNO Johor masih menyokong Najib dan tidak melupakan jasa pemimpin itu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO